CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 374|Reply: 0

Rexy ambil tanggungjawab

[Copy link]
Post time 14-5-2022 10:55 AM | Show all posts |Read mode

Beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. - Foto ihsan FB BAM.

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan mengekalkan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menggalas tugas selaku beregu pertama ketika Malaysia tewas 2-3 di tangan India dalam aksi suku akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, malam tadi.

Pada aksi di Impact Arena itu, beregu ranking ke-13 dunia itu gagal mengekalkan momentum kecemerlangan mereka apabila tewas di tangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 19-21, 15-21 sekali gus menyukarkan peluang untuk pasukan melakar kemenangan.

Sehari sebelum itu, percaturan Rexy meletakkan Izzuddin-Sze Fei sebagai beregu pertama ketika bertemu Jepun dalam aksi kumpulan membuahkan hasil apabila mereka mengejutkan pasangan nombor empat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sekali gus membantu kemenangan 3-2 pasukan negara ke atas lawan itu.

Rexy berkata keputusan mengekalkan Izzuddin-Sze Fei sebagai beregu pertama dibuat berdasarkan momentum dan tahap keyakinan yang dibina kedua-dua pemain berkenaan sebelum aksi bertemu India.


"Apa yang saya boleh katakan, prestasi Izzuddin-Sze Fei sangat anti klimaks, tidak seperti ketika menentang beregu Jepun. Mereka terlalu memikirkan yang mereka tidak boleh kalah sekali gus membuatkan mereka tidak dapat mempamerkan permainan sebenar mereka.

"Sebagai jurulatih, sudah pasti saya kecewa tetapi saya juga harus bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuat. Saya tengok Sze Fei semalam lebih banyak bermain dengan fikiran yang tidak stabil sehingga teragak-agak dalam membuat keputusan," kata Rexy kepada BH Sukan.

Aksi menentang India menyaksikan hanya jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Aaron yang bergandingan bersama Teo Ee Yi selaku beregu kedua menyumbangkan mata kepada pasukan dalam pertemuan dengan India.

Zii Jia melunaskan dendamnya ke atas Lakshya Sen selepas tewas di separuh akhir Seluruh England, Mac lalu apabila menang 23-21, 21-9 manakala Aaron Chia-Teo Ee Yi yang turun sebagai beregu kedua mengatasi Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-19, 21-17

Selain Izzuddin-Sze Fei, perseorangan kedua, Ng Tze Yong dan perseorangan ketiga, Leong Jun Hao turut gagal menyerap tekanan apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

Tze Yong terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain berpengalaman India, K Srikanth 11-21, 17-21 manakala Jun Hao tunduk kepada HS Prannoy 13-21, 8-21.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann merasakan secara keseluruhannya kedua-dua pemain berkenaan cuba untuk melakukan yang terbaik bagi memenangi perlawanan namun lawan mereka bermain lebih baik.

"Memang kita mempunyai Liew Daren untuk diturunkan sebagai perseorangan kedua tetapi menerusi perbincangan sebelum perlawanan, Daren sendiri merasakan tiada beza sama ada dia atau Tze Yong diturunkan kerana bertemu Srikanth ia boleh jadi menang atau kalah. Sebab itu, kami beri kepercayaan kepada Tze Yong.

"Namun, Srikanth masih jauh mengatasinya dari aspek taktikal dan kebolehan. Apa pun, kami akan cuba bantu dia untuk kembali bangkit bagi menghadapi edisi seterusnya.

"Bagi Jun Hao pula, dia pernah menentang Prannoy sekali sebelum ini. Dia bermain dengan baik dan menang ketika saingan BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia) dua tahun lalu. Namun, itu bukan bermakna kami boleh memandang rendah kemampuan Prannoy.

"Dia membuktikan tahap prestasinya masih tinggi dan bermain lebih baik berbanding Jun Hao," katan Choong Hann.

Kekalahan menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu dua tahun lagi bagi menamatkan kemarau panjang kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij berkenaan pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Tahun lalu di Aarhus, Denmark, skuad negara turut tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan Indonesia 0-3.

Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2016 di Kunshan, China sebelum tewas kepada Denmark 2-3.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ambil-tanggungjawab
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 04:38 PM GMT+8 , Processed in 0.055808 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list