Ratu Cantik Rusia dan juga peserta akhir Miss Dubai, Kristina Dukhina bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun.
Ia berikutan penemuan lebih setengah kilogram (kg) dadah jenis mephedrone di apartment milik Dukhina.
Kredit foto: east2west news
Dukhina, 34, ditahan polis dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas apartment mewah di kawasan elit di Moscow.
Penguatkuasa undang-undang tempatan mengatakan bahawa pemilik agensi model itu juga ditahan kerana disyaki cuba mengedar dadah.
“Dukhina ditangkap dan ditahan pegawai polis dan berkemungkinan berhadapan hukuman penjara 20 tahun di bawah Kanun Jenayah Persekutuan Rusia,” menurut laporan Daily Star.
Selebriti glamor itu pernah menjadi naib Juara dalam Pertandingan Miss Dubai 2019 dan juga pemenang Grand Prix Miss Federation serta memenangi hadiah utama dalam satu pertandingan ratu cantik Rusia tahun 2020.
Dukhina yang juga ibu kepada dua anak kini disiasat tentang penyediaan dadah secara haram untuk dijual.
Kredit foto: east2west news
Dukhina juga dikatakan telah meninggalkan dunia media sosial namun sebelum itu, beliau sempat memberi nota ringkas kepada para peminatnya.
Mengimbau kembali detik Dukhina bercakap kepada meida sejurus sebelum dinobatkan sebagai Naib Juara pertandingan Miss Dubai, katanya, beliau sentiasa yakin dengan diri dan kecantikan yang dimilikinya.
Selain itu, beliau juga mahu menunjukkan contoh tauladan kepada masyarakat bahawa tiada impian yang mustahil untuk dicapai.
Sumber: Suara Merdeka |