DAMSYIK: Kementerian Pertahanan mengesahkan, serangan ke atas sebuah bas awal hari ini di utara Syria membunuh 13 orang, kebanyakannya tentera kerajaan.
Kenyataan kementerian menjelaskan, seramai 11 tentera kerajaan dan dua orang awam terbunuh dalam serangan yang disifatkan keganasan ke atas bas transit awam.
Tambahnya, tiga lagi askar cedera.
Agensi berita Syria, SANA berkata, serangan itu berlaku di wilayah Jabal al-Bishri di wilayah Raqqa.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan hendap dilakukan oleh pengganas Daesh yang melancarkan serangan langgar lari di kawasan padang pasir negara itu, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Konflik Syria selama 11 tahun mengakibatkan negara itu menjadi pelbagai zon kawalan, dengan tentera kerajaan dan pejuang bersekutu menguasai sebahagian besar wilayah.
Sebahagian wilayah barat laut dikuasai oleh pemberontak yang disokong Turki dengan lebih banyak kumpulan pemberontak, manakala tentera yang diketuai Kurdish dengan sokongan AS pula menguasai timur laut.
Salah satu serangan hendap bas yang menyebabkan ramai terkorban adalah pada Disember 2020, apabila 28 orang terbunuh dalam serangan di lebuh raya utama di wilayah Deir al-Zor timur Syria. - REUTERS