|
Amalan diet seimbang boleh membantu menghindari tekanan jiwa.
“Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu mood, mengurangkan tumpuan selain mampu memberi kesan kepada semua organ dan fungsi tubuh kita.
“Menerusi pengambilan diet seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan bagi memastikan tahap mental dan fizikal berada dalam keadaan terbaik,” kata Dietitian Hospital Pakar KPJ Perlis, Nur Adilah Badrol Hisham, baru-baru ini.
Gambar hiasan
Adilah menambah, terdapat beberapa jenis makanan yang dapat membantu mengurangkan stres dan salah satunya adalah ikan.
“Ikan laut dalam seperti ikan salmon, mackerel (tenggiri, kembung), sardin dan ikan air tawar seperti ikan patin dan haruan adalah antara sumber makanan yang tinggi dengan Omega 3 untuk membantu menstabilkan stres terutamanya melibatkan hormon kortisol.
“Sebagai contoh, ikan kembung mudah didapati dengan harga yang berpatutan. Ikan ini kaya dengan asid lemak Omega-3, vitamin B12 yang melebihi 300 peratus keperluan harian badan selain setiap 100 gram ikan ini kembung mengandungi 21 gram protein yang dapat memenuhi 40 peratus keperluan badan.
“Ikan ini juga kaya dengan lemak sihat seperti asid lemak, DHA dan EPA yang membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti strok, aterosklerosis dan aritma.
“Terdapat kajian yang mendapati ikan kembung mampu meredakan masalah mood swing dalam kalangan pesakit depresi kerana kandungan DHAnya yang tinggi membantu individu yang sedang mengambil ubat anti depresi,” katanya.
Gambar hiasan
Beliau menambah, sebaiknya ikan kembung dimasak secara rebus atau bakar berbanding digoreng menggunakan minyak masak.
Kartisol merupakan sejenis hormon steroid yang dirembeskan oleh korteks kelenjar adrenal. Sebarang tekanan sama ada mental atau fizikal boleh menaikkan penghasilan dan perembesan kartisol.
Sumber: MalaysiaGazette |
|