Tiada sebab munasabah untuk langkah itu dibuat kerana hanya berbaki kira-kira setahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti diadakan. PRU15 pada waktu sekarang bukanlah suatu keperluan mendesak bagi rakyat.
Sebaliknya ia hanya penting kepada sebilangan individu yang terbabit dalam episod sandiwara politik dan juga bagi faedah pemimpin tertentu yang sedang menghadapi masa depan gelap.
Masa depan kerjaya politik golongan berkenaan umpama tiada cahaya di penghujung terowong, maka jalan terbaik adalah diadakan PRU15.
Mendapatkan mandat baharu menerusi PRU adalah sesuatu yang dituntut serta praktikal menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan tetapi ia tidak terpakai jika sekadar ‘melepaskan tengkuk’ pihak tertentu dengan menjadikan isu kesempitan hidup rakyat sebagai modal.
Tiada jaminan pandemik inflasi dapat diselesaikan selepas diadakan PRU15 malah dikhuatiri menjadi lebih parah akibat kedudukan kuasa politik yang tidak seimbang.
Beri ruang sewajarnya kepada Perdana Menteri dalam menangani masalah rakyat yang semakin meruncing dan bakal lebih genting untuk beberapa bulan mendatang akibat tempias ekonomi global.
Justeru, tumpuan kerajaan adalah bagi menangani isu kenaikan kos seperti ayam dan telur dalam jangka masa panjang bagi mengelak ia sekadar menjadi makanan ‘mampu tengok’ bagi golongan berpendapatan rendah (B40). –
UTUSAN