|
KUALA LUMPUR: Senarai “cai” barisan kepimpinan baharu Umno didakwa diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang tidak pernah dibincang, kata bekas setiausaha agungnya, Annuar Musa.
Beliau berkata, senarai disebarkan itu mungkin dilakukan pihak yang “mempunyai banyak masa” untuk berpolitik, sebaliknya pihaknya hanya menumpukan kepada usaha membantu rakyat.
“Kami tidak pernah bincang mengenai hal itu, saya tahu pihak tertentu menyebarkan carta jawatankuasa itu mungkin mereka ada banyak masa, tapi kami tidak pernah berbincang mengenai senarai barisan pemimpin yang akan bertanding kerana masa kami terhad.
“Banyak kerja yang nak dibuat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas poster ‘cai’ kepimpinan baharu yang dinamakan “saf kepimpinan Umno selepas pemilihan”, antaranya menamakan Ismail sebagai teraju parti.
Antara pemimpin Umno terpapar dalam senarai itu adalah Annuar sebagai timbalan presiden, Hishammuddin Hussein, Mahdzir Khalid dan Khairy Jamaluddin sebagai naib presiden.
Turut berada dalam senarai, Shahril Hamdan sebagai ketua Pemuda, Mastura Yazid (ketua Wanita) dan Nurul Amal Mohd Fauzi (ketua Puteri).
Manakala, bagi setiausaha agung, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dinamakan menjawat jawatan itu, ketua penerangan pula adalah Noh Omar dan bendahari Umno, Tajuddin Abdul Rahman.
Sementara itu, mengulas desakan supaya pilihan raya umum diadakan segera, Annuar berkata sekarang bukan masa berpolitik, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada membantu rakyat termasuk menyelesaikan kenaikan kos sara hidup.
“Jangan lagi kita membuang masa, jangan lagi kita berpolemik. Bagi saya siapa nak main politik mainlah, bagi saya, saya nak bekerja satu hari pun adalah mahal harganya. Tak perlu nak fikir-fikir soal bila nak PRU…bila-bila tetap akan datang pilihan raya,” katanya.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/03/senarai-cai-ismail-presiden-umno-tak-pernah-dibincang-kata-annuar/
|
|