LONDON: Rakyat Britain digesa memakai
pelitup muka ketika berada di kawasan sesak dan tempat tertutup di tengah-tengah kebimbangan kes kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital akan mencecah rekod paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan.
Lapor
Mirror, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK), Dr. Jenny Harris memberi amaran gelombang semasa jangkitan Covid-19 masih belum memuncak.
Malah, katanya, bilangan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital `kemungkinan besar’ akan meningkat lebih tinggi berbanding gelombang terakhir pada musim bunga ini.
Semasa kemuncak gelombang Omicron BA.2, bilangan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di UK meningkat lebih 20,000 kes pada awal April.
Pada masa itu, ia adalah jumlah tertinggi pesakit Covid-19 di hospital UK sejak Februari tahun lalu, dengan kes kemasukan ke wad mencecah lebih 2,500 sehari.
Bilangan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital menurun antara April dan Jun namun ia kini meningkat semula, ketika Harris memberi amaran varian BA.4 dan BA.5 Omicron sedang mencetuskan gelombang baharu.
“Nampaknya, gelombang itu belum lagi selesai. Jadi, kami menjangkakan kes kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital akan meningkat dan kemungkinan besar ia akan memuncak berbanding gelombang BA.2 sebelum ini (Mac 2022).
“Impak keseluruhannya belum dapat dipastikan lagi.
“Saya rasa nasihatnya masih sama, kami mahu orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya,” katanya dalam rancangan Sunday Morning di saluran BBC.
Selain itu, Harris juga memaklumkan dia memakai pelitup muka dengan lebih kerap disebabkan risiko yang tinggi.