PETALING JAYA: Sebanyak 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi dikenakan tindakan termasuk ditarik lesen kerana menyeleweng bekalan minyak peket ke negara jiran, sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid, berkata susulan itu kuota penghasilan minyak masak peket diberi kepada semua syarikat terbabit, dipindahkan ke syarikat lain.
“Semua syarikat ini akan diheret ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.
“Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, penarikan lesen itu bukan bermakna penghasilan minyak masak peket berkurangan.
“Pengeluaran tetap 60,000kg sebulan dilakukan melalui pemindahan kuota kepada syarikat lain,” katanya.
Katanya, pihak kementerian turut menyiasat dua lagi syarikat pembungkusan di Selangor dan Perak yang dikesan melakukan penyeludupan minyak peket ke negara jiran.
Katanya, belum ada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan sudah dimulakan dan lazimnya mengambil masa hampir tiga bulan.
“Tidak sepatutnya berlaku subsidi yang diberikan kerajaan untuk manfaat rakyat, namun dinikmati oleh warga asing.
“Atas sebab itu kita melakukan pemeriksaan secara agresif sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh empat hari bulan ini, sebanyak 22 aduan berkaitan minyak masak dan 25 aduan berkaitan ayam diterima pihak kementerian.
Bagi memastikan setiap aduan daripada pengguna dapat diuruskan dengan lebih berkesan, katanya, pihaknya mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam.