Hartanah terkenal, Muhammad Azlan Al-Amin mendapatkan khidmat guaman untuk memohon penangguhan hukuman ke atas suri rumah yang dihukum penjara 14 bulan kerana mencuri dua peket Milo.
Suri rumah tersebut dijatuhi hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan tersebut di Mahkamah Majistret Marang pada Selasa lalu.
Muhammad Azlan mengambil inisiatif tersebut dengan mendapatkan khidmat guaman buat Suhaini Mohd, 43, yang kini ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan bagi mendapatkan permohonan penangguhan hukuman tersebut.
Peguamnya, Datuk Naran Singh berkata, permohonan penangguhan hukuman dan jaminan tersebut dikemukakan secara dalam talian kepada Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Suhaini Mohd diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Marang selepas dijatuhi hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri dua peket Milo, Selasa lalu. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
“Kami bersepakat untuk membantu tertuduh (Suhaini) atas dasar kemanusiaan walaupun dia mempunyai rekod jenayah lampau dan penagih dadah.
“Bagaimanapun, tertuduh tetap seorang ibu kepada empat anak,” katanya ketika dihubung di sini, hari ini.
Naran berkata, anak-anak Suhaini amat memerlukan kasih sayang wanita apatah lagi Hari Raya Aidiladha akan disambut Ahad ini.
Beliau memberitahu, permohonan rayuan penangguhan hukuman dan jaminan tersebut dijangka didengar di Mahkamah Majistret Marang di sini pada 13 Jun depan.
“Sewaktu pendengaran itu, kita akan memohon agar tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan.
“Ia bagi membolehkan dia kembali ke pangkuan keluarga sehingga proses rayuan hukuman di mahkamah tinggi selesai,” katanya.
Utusan Malaysia Rabu lalu melaporkan Suhaini dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman tersebut selepas suri rumah itu yang juga penagih dadah membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
SUmber: UTUSAN ONLINE |