|
Hess berdiri di hadapan pusat pembakaran mayat miliknya di Montrose. – Facebook
Anak beranak jual mayat, beri abu palsu kepada keluarga
MONTROSE, COLORADO – Seorang pengendali pusat pembakaran mayat di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) berdepan hukuman penjara 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual anggota badan mayat dan memberikan abu mayat palsu kepada keluarga si mati, lapor akhbar Daily Star.
Megan Hess, 45, yang sebelum ini menafikan semua dakwaan terhadap dirinya, mengubah pengakuan dan mengaku bersalah ketika perbicaraan di sebuah mahkamah, awal minggu ini.
Hess didakwa menjual sebilangan mayat dan menipu ahli keluarga si mati bahawa dia telah membakar mayat tersebut sebelum menyerahkan bekas berisi abu mayat palsu.
Siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati Hess telah memalsukan berpuluh-puluh borang kebenaran pendermaan mayat di pusat pengebumian miliknya di bandar Montrose.
Dia kemudian menjual anggota badan mayat seperti kepala, lengan, tulang dan kaki kepada pusat penyelidikan, bahkan turut mencabut gigi emas sebilangan mayat.
Suspek dituduh mencuri mayat dari tahun 2010 hingga 2018 bersama ibunya, Shirley Koch.
Hess mengenakan bayaran sebanyak AS$1,000 (RM4,426) bagi setiap sesi pembakaran mayat. Dia turut menipu keluarga miskin dengan menawarkan perkhidmatan percuma, namun menggunakan mayat tersebut untuk kepentingan sendiri.
Dua beranak itu dituduh menipu pembeli dengan memalsukan sebab kematian pesakit Hepatitis B dan C serta HIV.
Meskipun aktiviti penjualan organ seperti buah pinggang salah di sisi undang-undang AS, penjualan mayat untuk digunakan dalam penyelidikan dan pendidikan tidak dikawal oleh undang-undang. – Agensi
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... su-kepada-keluarga/
|
|