|
Seorang lelaki menggunakan kayu api untuk memasak makanan di sebuah hotel di Colombo pada 15 Mac lalu. – AFP
Enam juta rakyat Sri Lanka berdepan krisis makanan
COLOMBO – Krisis ekonomi berterusan menyebabkan lebih enam juta penduduk Sri Lanka berdepan krisis bekalan makanan di samping kekurangan ubat-ubatan dan bahan api, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut penilaian terbaharu Program Makanan Sedunia (WFP) mengenai keupayaan mendapatkan makanan (jaminan makanan), tiga daripada 10 isi rumah atau hampir 6.26 juta penduduk Sri Lanka tiada akses kepada sumber bekalan makanan untuk hari-hari seterusnya.
Kira-kira 61 peratus isi rumah di Sri Lanka pula mengamalkan langkah penjimatan seperti mengurangkan pengambilan makanan atau makan makanan yang padat dengan nutrien sahaja. Situasi itu berpunca daripada harga makanan yang melambung tinggi, peningkatan mendadak harga bahan api dan kekurangan bekalan komoditi asas, demikian menurut agensi berita ANI.
WFP menjangkakan lebih ramai penduduk Sri Lanka akan mengamalkan langkah berjimat-cermat apabila krisis menjadi bertambah buruk.
“Ketika ini, kami tidak mempunyai hidangan makanan yang sempurna tetapi hanya makan nasi bersama kuah,” kata seorang wanita kepada agensi itu.
“Ibu hamil perlukan makanan berkhasiat setiap hari, manakala golongan miskin semakin sukar membeli bahan keperluan asas,” kata Timbalan Pengarah Serantau WFP bagi Asia dan Pasifik, Anthea Webb pula.
Webb menasihati wanita hamil supaya tidak melakukan catuan makanan kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan kandungan mereka.
Sri Lanka yang dilaporkan dibebani kadar inflasi 57.4 peratus, menyaksikan harga makanan melambung secara drastik dengan dua daripada setiap lima isi rumah tiada makanan berzat.
Perkara itu berlaku disebabkan penduduk tiada akses untuk mendapatkan dan menyediakan makanan yang kaya dengan nutrien.
WFP pada bulan lalu mengumumkan rayuan bantuan kecemasan AS$60 juta (RM265.53 juta) untuk menyediakan makanan kepada tiga juta penduduk Sri Lanka.
Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaannya pada 1948 dengan situasi menjadi semakin parah selepas pandemik Covid-19. Sekolah dan pejabat kerajaan terpaksa ditutup, manakala Bank Dunia menganggarkan lebih 500,000 orang hidup di bawah garis kemiskinan buat kali pertama di negara itu. – Agensi
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... pan-krisis-makanan/
|
|