KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengumpul sebanyak 43 sampel pelbagai jenis sayuran tanah tinggi di Kundasang, Ranau disyaki mengandungi racun berlebihan.
Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata sampel itu dikumpul pada operasi besar-besaran Ops Caras Hijau dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran dan Pejabat Kesihatan Ranau membabitkan seramai 30 anggota pada 5 Julai lalu.
Menerusi kenyataannya semalam, beliau berkata sampel sayuran yang diambil termasuk cili merah, lada benggala, tomato, daun salad dan daun sup yang dijual di 16 premis pemborong dan 19 premis peruncitan sayuran di Kundasang.
Beliau berkata, sayuran terbabit menjadi keutamaan dalam persampelan berkenaan kerana sering dikesan mengandungi paras residu racun perosak melebihi nilai standard yang dibenarkan.
"Kesemua sampel sudah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS untuk dianalisis.
"Objektif operasi ini adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada semua pihak dalam rantaian penjualan hasil pertanian agar tidak menggunakan racun perosak yang tidak dibenarkan atau melebihi nilai maximum residue limit(MRLS) yang dibenarkan di bawah keperluan perundangan sedia ada.
"Penggunaan racun perosak yang tidak terkawal adalah sangat merbahaya sehingga boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna," katanya.
Operasi itu, katanya membabitkan penguatkuasaan dan pematuhan perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Beliau berkata, Ops Caras Hijau tertumpu kepada pemborong dan peruncit di sekitar Kundasang yang menjadi kawasan penanaman dan pengeluaran hasil pertanian utama di Sabah.
"Operasi ini membabitkan aktiviti persampelan dan pengesanan maklumat rantaian pembekalan hasil sayur-sayuran serta buah-buahan.
"Ia akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha hasil pertanian mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan demi keselamatan dan kesihatan pengguna," katanya.
Beliau berkata, orang awam juga diingatkan sentiasa mengamalkan aspek kebersihan dengan membasuh terlebih dahulu sayuran dan buah-buahan sebelum dimasak atau dimakan.