|
Pesawat tempur TNI terhempas, juruterbang dikhuatiri maut
https://www.hmetro.com.my/global ... ang-dikhuatiri-maut
Disiarkan pada: Julai 19, 2022 @ 9:11am
Agensi
PIHAK berkuasa melakukan proses evakuasi di lokasi kejadian. FOTO Agensi
Jakarta: Sebuah pesawat tempur latih milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara disahkan terhempas di Desa Nginggil, Kecamatan Kradenan, Blora, Jawa Tengah, malam tadi.
Pesawat tempur jenis T-50i Golden Eagle ini jatuh ketika melakukan latihan malam, lapor Kompas.
Sebelum itu, pesawat bernombor TT-5009 itu berlepas dari Pangkalan Udara (Lanud) Iswahjudi, Magetan, Jawa Timur, kira-kira jam 18.24 WIB (waktu Indonesia Barat).
Kira-kira sejam berlepas, juruterbang Leftenan Satu Pnb Allan Safitra Indera W sempat menghubungi pengarah penerbangan sebelum terputus hubungan pada 19.24 WIB.
"Selepas itu, kedudukan pesawat tidak dapat dihubungi," kata Ketua Perkhidmatan Penerangan Tentera Udara (Kadispenau) Marsma Indan Gilang Buldansyah dalam satu kenyataan, Isnin malam.
Ketua Penerangan Pangkalan Udara Iswahjudi Mejar Sus Yudha Pramono menjelaskan ketika itu Allan Safitra sedang melakukan latihan malam.
"Menjalankan misi pintasan taktikal malam," kata Yudha mengesahkannya.
Sementara itu, pegawai wilayah dan orang ramai mengesahkan menemui serpihan logam yang disyaki ada kaitan dengan nahas Skuadron Udara ke-15 di Pangkalan Udara Iswahjudi.
SERPIHAN pesawat yang ditemui di Blora, Jawa Tengah. FOTO Agensi.
Malah, Panglima Daerah Tentera (Dandim) 0721/ Blora Leftenan Kolonel Infantri Andy Soelistyo Kurniawan Putro mengesahkan terdapat mangsa yang maut dalam nahas pesawat pejuang milik Tentera Udara Indonesia.
Bagaimanapun, pegawai belum dapat mengesahkan identiti mayat terbabit.
"Saya sendiri lihat di lokasi kejadian, memang kami menemui mayat, mungkin kerana keadaan pesawat yang meletup sehingga saya tidak dapat mengenal pasti sepenuhnya," kata Andy, ketika ditemui pemberita di Balai Desa Nginggil, awal pagi ini.
"Tetapi, kami sudah mengumpulkan beberapa bahagian untuk dimasukkan ke dalam beg mayat," katanya.
Kemalangan ini menambah senarai pesawat T-50i Golden Eagle milik Tentera Udara Indonesia yang jatuh.
|
|