Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa melintas jalan untuk pulang ke rumahnya dari sebuah kedai di Kilometer 83, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa, Mohammad Elis Adam Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang dipercayai dari sebuah kedai mahu pulang ke rumahnya di seberang jalan.
Lokasi kejadian kemalangan melibatkan seorang kanak-kanak maut dirempuh sebuah Toyota Hilux di Kilometer 83, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria, Kuala Krai petang tadi. FOTO IHSAN POLIS
Menurutnya, semasa tiba di bahu sebelah kiri jalan, Mohammad Elis Adam dipercayai terus berlari melintas jalan.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu bagaimanapun tidak sempat brek dan mengelak sebelum merempuh mangsa.
“Insiden itu menyebabkan mangsa cedera parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Suzaimi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat petang semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian mangsa yang tidak berhati-hati semasa melintas jalan.
Sumber: KOSMO! ONLINE |