Seorang pelancong ditahan pegawai kastam ketika cuba menyeludup barangan dipercayai untuk kegunaan ilmu sihir ke Dubai.
Lelaki itu didapati membawa azimat, cincin, tali pinggang dan gelang yang diperbuat daripada kulit haiwan yang diikat di pinggangnya, lapor The National News.
Tali dan azimat dipercayai mempunyai unsur sihir yang ditemukan pada seorang lelaki. FOTO Agensi
Barangan terbabit ditemukan pada lelaki itu selepas sebuah pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, baru-baru ini.
Pegawai kastam semakin curiga dengan tingkah laku lelaki itu, dan menyedari sekeliling perutnya kelihatan seperti kembung.
Mereka menemui barang-barang itu, yang dikaitkan dengan amalan sihir selepas pemeriksaan.
"Dia sedang melepasi tempat kastam dan pemeriksa mengesyaki pengembara itu kerana dia keliru dan bahagian pinggangnya kelihatan kembung," kata pengarah operasi penumpang di Kastam Dubai, Khalid Ahmed.
Lelaki itu berasal dari negara Afrika yang tidak dinyatakan, dirujuk kepada Polis Dubai untuk siasatan.
Mengamalkan ilmu hitam atau cuba menyeludup barangan sihir adalah haram di bawah Perkara 316 Kanun Keseksaan Emiriah Arah Bersatu (UAE).
Mereka yang ditangkap menyeludup objek sihir akan dikenakan penjara atau denda.
Kastam Dubai berkata, lebih 68 kilogram barang sihir dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, antara 2018 dan 2020.
Menurut Kastam Dubai, pihaknya berusaha menyebarkan kesedaran membawa barangan ini sebenarnya membantu mengurangkan bilangan percubaan penyeludupan.
"Barang-barang yang boleh dikaitkan dengan ilmu sihir atau ilmu hitam adalah dilarang di bawah peraturan Jawatankuasa Kerjasama Kewangan dan Ekonomi (GCC)," katanya.
Sumber: Harian Metro |