MELAKA: Akibat melarikan seorang pelajar tingkatan satu dari sebuah sekolah di Klang, Selangor ke Melaka untuk dirogol, seorang juruteknik dijatuhkan hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azali Abu, 40, yang membuat pengakuan bersalah terhadap lapan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh yang berkahwin dan mempunyai dua anak didapati telah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Tertuduh juga dihadapkan dengan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachang, dalam daerah Melaka Tengah pada 16 dan 17 Jun 2022.
Berdasarkan fakta kes, kegiatan tertuduh dikesan pada 16 Jun 2022 apabila ibu mangsa dihubungi pemandu van sekolah, memaklumkan remaja tersebut tidak ditemukan selepas tamat waktu persekolahan.
Wanita itu kemudian menghubungi rakan anaknya dan diberitahu bahawa mangsa dilihat menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.
Pada 18 Jun 2022, mangsa pulang ke rumah dan memberitahu dirogol sebanyak empat kali antara pukul 10 malam pada 16 Jun 2022 sehingga pukul 10 malam keesokannya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana menyesal dan insaf dengan perbuatannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tindakannya melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang dan dibawa ke tempat asing di Melaka.
Tertuduh juga berusia 40 tahun manakala mangsa hanyalah seorang pelajar tingkatan satu dan sepatutnya golongan dewasa membimbing kanak-kanak tersebut, bukan sebaliknya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.
Mahkamah memerintahkan hukuman di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan berjalan secara berasingan, manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh ditangkap, 25 Jun lalu. –
UTUSAN