|
Polis mengesahkan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik Zalina Azman tidak terkait dengan kehilangan bekas personaliti TV3 itu selepas 20 keterangan diambil kira-kira dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, susulan siasatan tersebut, beliau mengenal pasti tiga kontraktor yang tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman, 58.
Menurutnya, ketiga-tiga kontraktor berkenaan termasuk ketuanya memberitahu, kerja-kerja pengubahsuaian banglo Zalina di Seksyen 3 di sini bermula kira-kira setahun selepas rumah tersebut dibeli pada 2018.
“Tetapi kontraktor berbincang dengan Zalina, kemudian Zalina setuju dan bayaran dibuat secara berperingkat. Bayar ‘A’ selesai ‘A’, buat ‘B’ selesai B’, akhir sekali bayaran yang diterima (kontraktor) pada Ogos 2021, selepas itu Zalina kata sudah tak ada duit.
“(Kerja pengubahsuaian) boleh dikatakan dalam 60 peratus (siap), ada lagi 40 peratus yang belum disempurnakan sebab kalau ikut harga asal quotation, RM320,000 dan jumlah bayaran dijelaskan adalah RM165,000 (pertama), kemudian RM75,000, bermakna ada baki bayaran dalam RM60,000,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mohd. Iqbal menambah, kali terakhir bayaran dibuat kepada kontraktor berkenaan adalah RM20,000 pada Ogos 2021 dan kerja tersebut dihentikan atas permintaan Zalina sendiri selepas memaklumkan kehabisan duit.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, polis menggeledah banglo Zalina sebanyak dua kali iaitu pada November 2021 dan awal Julai lalu, namun tidak menemui sebarang petunjuk dalam pencariannya.
Zalina dilaporkan hilang pada 29 November tahun lepas selepas anaknya Mikhael Norman, 33, gagal menghubungi ibunya itu, polis kemudian menguar-uarkan kehilangan wanita itu pada 19 Julai lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan polis merampas beberapa barangan dari banglo tersebut termasuk dokumen dan sebuah komputer riba yang sedang dianalisis oleh pasukan forensik selepas melakukan pemeriksaan kali ketiga pada 28 Julai lalu.
“Kita tak mahu ada ketinggalan sebarang bukti, ada beberapa dokumen kita rampas dalam rumah tersebut, kita buat rampasan komputer riba untuk membuat analisis di makmal forensik kita. Saya tak boleh dedahkan perinciannya, sebab rampasan itu masih dalam siasatan kita.
“Kita periksa, ada laptop, kemudian itulah kita ambillah, kemudian habis. Kalau hendak cari tubuh pun memang tak ada sebab anjing pengesan pun memang tak jumpa jejak dekat rumah tersebut,” jelasnya.
Sumber: UTUSAN ONLINE |
|