|
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini dalam proses mendapatkan semula hutang tertunggak daripada AirAsia X Bhd (AAX) sebagai pemiutang dalam skim prosiding.
"Kami mahu menjelaskan bahawa Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) tertunggak daripada AirAsia dan AAX berhubung penghakiman di Mahkamah Tinggi bertarikh 18 Julai 2019, yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Mac 2022, jumlah tertunggak kira-kira RM41.5 juta telah dibayar oleh AirAsia dan AAX kepada MAHB.
"Baki tertunggak PSC, yang terakru sejak itu, tidak diketepikan dan kekal terhutang berdasarkan prinsip dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata MAHB dalam satu kenyataan.
MAHB berkata, perjanjian terkini prosiding undang-undang bersama AirAsia dan AAX adalah tidak berkaitan dengan hutang RM78 juta yang tertunggak dan perlu dibayar daripada AAX.
Katanya, jumlah itu telah pun dirunding menurut arahan Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Disember 2021, yang meluluskan skim pengaturan AAX bagi menstruktur semula hutangnya. -BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/08/988947/airasia-x-kena-bayar-hutang-rm78-juta-kepada-mahb
|
|