|
Utusan Khas PBB lawat Myanmar buat pertama kali
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer. - Foto PBB
NEW YORK: Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar memulakan lawatan ke Myanmar hari ini, lawatan pertamanya ke negara di Asia Tenggara itu sejak dilantik pada Oktober tahun lalu.
Beliau tiba di Yangon hari ini, sehari selepas mahkamah junta tentera menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, atas tuduhan rasuah.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata lawatan Noeleen Heyzer itu susulan gesaan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya sebarang bentuk keganasan dan halangan kepada akses kemanusiaan di negara berkenaan dihentikan segera.
Katanya, Heyzer akan memberi tumpuan kepada usaha menangani keadaan yang semakin membimbangkan serta keutamaan lain dalam bidang kuasanya.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan sama ada Heyzer akan bertemu dengan junta tentera yang memerintah negara itu sekarang atau bekas pemimpin, Suu Kyi.
"Lawatan ini susulan rundingan menyeluruh bersama pihak merentasi spektrum politik, masyarakat awam serta masyarakat yang terkesan akibat krisis terbabit," katanya.
Awal bulan ini, Menteri Luar Kemboja yang juga Utusan Khas ASEAN ke Myanmar, Prak Sokhonn, berkata usaha dilakukan bagi mengembalikan keamanan di negara itu terhalang selepas pelaksanaan hukuman mati ke atas empat aktivis politik baru-baru ini.
Beliau turut memberi amaran, hukuman mati yang bakal dilaksanakan selepas ini hanya akan memaksa ASEAN mempertimbangkan cara lain untuk menangani Myanmar.
Pada Februari tahun lalu, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa dan menyingkirkan kerajaan pimpinan Suu Kyi sebelum menangani kumpulan protes menggunakan kekerasan secara kejam.
Junta Myanmar kemudiannya bersetuju dengan lima usul ASEAN pada April tahun lalu bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.
Namun, junta dilihat tidak bersungguh untuk melaksanakan pelan berkenaan sehingga Myanmar terjerumus ke dalam kancah yang boleh mendorong berlakunya perang saudara. - AP
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... r-buat-pertama-kali
|
|