View: 1013|Reply: 0
|
Boleh minta kepada Allah tanpa atau dengan asbab
[Copy link]
|
|
Boleh minta kepada Allah tanpa atau dengan asbab
GAMBAR HIASAN
Dalam berdoa, umat Islam dikehendaki meminta atau memohon segala hajat mereka kepada Allah SWT, Tuhan seluruh alam, yang Maha Esa, Maha Pemurah, Pencipta dan pemilik segala sesuatu. Namun, permintaan itu boleh dimohon secara langsung kepada Allah SWT tanpa melalui asbab dan boleh juga dimohon terus kepada Allah SWT dengan melalui asbab.
Terdapat banyak dalil tentang suruhan agar memohon secara langsung kepada Allah SWT tanpa melalui asbab. Antaranya, kata Ibn Abbas RA: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW di atas satu tunggangan pada suatu hari, lalu baginda bersabda: "Wahai orang muda! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah." Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih
Ini adalah kaifiat berdoa yang utama kepada Allah SWT. Malah, kebanyakan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah dalam bentuk ini, sebagaimana yang dihimpunkan oleh ulama dalam kitab doa dan zikir, misalnya kitab al-Azkar oleh Imam an-Nawawi.
Namun perlu diketahui, hadis Ibn Abbas RA ini tidak menunjukkan larangan untuk seseorang meminta kepada Allah SWT dengan melalui asbab. Bahkan, terdapat pelbagai hadis yang menunjukkan boleh berbuat demikian dan dianggap satu daripada kaifiat berdoa kepada Allah SWT. Antara hadis sahih yang menjadi dalil boleh memohon kepada Allah SWT dengan asbab ialah hadis mengenai tiga lelaki yang terperangkap dalam sebuah gua. Lalu setiap orang berdoa dengan amalan soleh masing-masing. Lelaki pertama berdoa dengan amalannya mendahulukan hak ibu bapanya yang sudah tua ke atas hak ahli keluarganya sendiri. Lelaki kedua berdoa dengan amalannya meninggalkan peluang untuk berzina apabila dia sedar bahawa perbuatannya itu salah. Lelaki ketiga berdoa dengan amalannya menyimpankan upah seorang pekerja, malah mengembangkannya sehingga menjadi banyak dan apabila pekerja itu datang semula menuntut haknya, maka diserahkan kepadanya semua hasil pelaburan upahnya itu. Setiap kali berdoa, batu yang menutup pintu gua itu bergerak sedikit sehinggalah mereka semua dapat keluar dengan selamat. Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalil lain, Uthman bin Hunaif RA berkata: "Bahawa ada seorang lelaki yang buta penglihatannya datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: "Doakanlah kepada Allah agar Dia menyembuhkanku." Baginda menjawab: "Jika kamu mahu, aku akan doakan dan jika kamu mahu, kamu bersabar sahaja (supaya beroleh ganjarannya di akhirat), maka itu lebih baik bagimu." Lelaki itu membalas: "Doakanlah." Maka baginda SAW pun menyuruh lelaki buta itu berwuduk dan memperelokkan wuduknya serta melakukan solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajuh kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajuh denganmu kepada Tuhanku pada hajatku ini agar ditunaikan untukku. Ya Allah! Syafaatkanlah dia padaku dan syafaatkanlah aku padanya." Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasa'i, Ahmad dan lain-lain. Kata al-Tirmizi: 'Hasan sahih gharib'
Kedua-dua hadis membuktikan boleh memohon kepada Allah SWT dengan melalui asbab. Perbuatan ini dinamakan sebagai tawassul, sama ada bertawassul dengan amalan soleh atau bertawassul dengan Baginda Nabi SAW. Inilah konsep tawassul yang sebenar iaitu mengambil asbab tanpa mengiktikadkan atau meletakkan sebarang sifat ketuhanan padanya.
Namun, anehnya golongan Wahhabi memahami bahawa tawassul itu ialah bergantung harap kepada asbab dan menjadikannya sebagai perantara selain Allah SWT sehingga boleh membawa kepada syirik! Seolah-olah menurut mereka, semua orang yang bertawassul itu mengiktikadkan atau meletakkan sifat ketuhanan kepada asbab.
Kesalahfahaman mereka makin berlarut-larutan apabila mengetahui asbab itu boleh jadi berupa orang yang telah meninggalkan dunia daripada kalangan Nabi AS dan wali yang soleh tanpa memperdulikan sama sekali tentang kedudukan istimewa mereka di sisi Allah SWT. Bagi mereka tawassul sebegini boleh menyebabkan syirik! Paranoia karut-marut mereka bertambah kronik apabila turut mengandaikan jika asbab berkenaan boleh berupa pokok, batu dan sebagainya.
Punca asas kesalahfahaman mereka yang serius ini adalah kerana mereka berprasangka bahawa semua orang yang bertawassul itu meyakini wujudnya kudrat atau kuasa mutlak yang berasingan pada makhluk sebagaimana akidah Muktazilah. Padahal ia hanya prasangka yang salah terhadap ahli tauhid yang benar.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... a-atau-dengan-asbab
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|