View: 330|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Dakwaan projek PSR sukar dapat kelulusan tidak berasas - JAS
[Copy link]
|
|

Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Georgetown: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyifatkan dakwaan bahawa projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) sukar untuk mendapatkan kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), adalah tidak berasas.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, dakwaan oleh individu dalam video menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini yang ditularkan pihak tertentu bertajuk 'Penang South Islands Being Cursed?', adalah tidak tepat dan mengelirukan orang awam.
"Hakikatnya laporan EIA bagi projek PSR yang didakwa sukar mendapat kelulusan telah diluluskan pada 2019. Laporan EIA yang baharu pula sedang dalam penilaian JAS dan agensi teknikal yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PSR sudah mendapat kelulusan laporan EIA daripada JAS pada 2019, namun bantahan daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang membawa kepada perbicaraan di Lembaga Rayuan di bawah Seksyen 35 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Wan Abdul Latiff berkata, keputusan Lembaga Rayuan sudah mengetepikan kelulusan laporan EIA itu kerana bercanggah dengan Seksyen 34A(4), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang berkaitan dengan pengezonan pembangunan yang belum diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang ketika itu.
"Laporan EIA yang baharu sudah dikemukakan kepada JAS dan masih di peringkat penilaian oleh JAS serta diedarkan untuk penilaian agensi teknikal yang lain," katanya dan menambah penilaian laporan EIA projek berkenaan dibuat dalam Jawatankuasa Teknikal Penilaian EIA yang dianggotai oleh pelbagai agensi.
Beliau berkata, antara agensi yang terbabit adalah PLANMalaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan individu-individu yang dilantik dengan kepakaran tertentu serta pihak badan bukan kerajaan.
Projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi ialah projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, dengan pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-tidak-berasas-jas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|