|
BAGNAIA hanya memerlukan dua mata pada perlumbaan di Valencia untuk muncul selaku juara dunia musim ini menewaskan Quartararo. – AFP
VALENCIA – Pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dari pasukan Ducati, Francesco Bagnaia enggan menyentuh trofi kejuaraan terlalu awal kerana dia menganggap ia sebagai pantang larang.
Pelumba Itali itu memerlukan dua mata sahaja bagi menewaskan pencabar terdekat dari pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo pada perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia di Litar Ricardo Tormo hari ini.
Bagaimanapun, dia yang lebih mesra dengan panggilan Pecco percaya, gelaran dunia belum menjadi miliknya selagi mereka tidak menamatkan perlumbaan terakhir bagi saingan musim 2022 itu.
“Saya adalah orang Itali dan ada kepercayaan sendiri, jadi saya tidak mahu menyentuh trofi kejuaraan walaupun sudah berada di depan mata sendiri. Kemungkinan untuk tewas tetap ada pada perlumbaan ini.
“Memang benar kami berada dalam kedudukan lebih baik berbanding Fabio (Quartararo), tetapi saya perlu beri fokus maksimum bagi memastikan tugas ini dapat diselesaikan,” katanya.
Justeru, Bagnaia menjelaskan, dia perlu lebih bijak dalam perlumbaan hari ini bagi mengelakkan sebarang tekanan biarpun hanya memerlukan dua mata untuk bergelar juara dunia baharu.
“Saya anggap perlumbaan di Valencia sama seperti perlumbaan lain sebelum ini. Bagi saya, amat penting untuk menjadi bijak sepanjang perlumbaan kerana ia sangat membantu bagi mencapai kemenangan,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... aya-pantang-larang/ |
|