|
MARQUEZ diramal akan menggegar litar dan menjadi pencabar utama kepada perebutan kejuaraan dunia MotoGP musim depan jika berada pada tahap terbaik.
Marc Marquez pelumba berani mati – Lorenzo
NEW YORK – Jorge Lorenzo merasakan Marc Marquez sudah cergas dan bakal mengembalikan prestasi terbaiknya untuk menjadi antara pencabar terkuat bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Sebelum ini, Marquez mengalami masalah kecederaan hingga memberi kesan besar kepada prestasi keseluruhannya musim lalu, namun Lorenzo yang juga juara dunia tiga kali percaya pelumba Sepanyol itu mampu menggegar pada saingan tahun depan seperti yang dilakukannya pada musim 2019.
Walaupun Fabio Quartararo dan Francesco Bagnaia muncul juara dunia dalam dua edisi lalu, Lorenzo seakan-akan tiada jawapan jelas untuk menggambarkan persaingan musim depan, namun yakin Marquez menjadi satu-satunya pelumba yang mahu ditewaskan oleh pencabar lain.
“Bagi saya, belum ada pelumba terbaik dan status itu masih milik Marc Marquez. Tanpanya, pelumba lain mungkin sedikit senang, namun jika Marquez mampu berada pada tahap terbaik, sudah pasti perebutan kejuaraan bertambah sukar.
“Saya tidak pasti jika ketiga-tiga musim lalu mampu dimenangi oleh Marquez, tetapi saya tetap merasakan dia mampu untuk memenanginya. Saya tetap merasakan dia adalah pelumba terbaik, sama ada dari segi teknikal atau fizikal.
“Dia satu-satunya pelumba yang tidak takut jatuh. Adakalanya cara kerjanya beri kesan kepada diri, namun jelas dia seorang pelumba berkualiti,” katanya.
Kali terakhir Marquez muncul juara dunia adalah pada 2019, mengumpul 420 mata untuk mengatasi pencabar, Andrea Dovizioso (269 mata).
Musim 2020 pula dimenangi pelumba Suzuki, Joan Mir diikuti Quartararo (2021) dan Bagnaia pada saingan tahun ini. – AGENSI
SumbeR:https://www.kosmo.com.my/2022/12 ... erani-mati-lorenzo/
|
|