|
JARVIS yakin Yamaha akan memiliki pasukan satelit pada musim 2024 dengan pasukan VR46 bakal menyertai mereka selepas dipercayai akan meninggalkan Ducati sebaik berakhirnya musim depan.
LESMO – Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis mengesahkan pengeluar motosikal dari Jepun itu giat berusaha mencari pasukan satelit bagi mengharungi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi musim 2024.
Bagi saingan musim depan, Yamaha akan menjadi satu-satunya pasukan yang tidak memiliki pasukan satelit selepas RNF Racing mengambil keputusan bekerjasama dengan pengeluar dari Itali, Aprilia.
Bagaimanapun, Jarvis memberi bayangan Yamaha akan memiliki pasukan satelit pada musim 2024 selepas tersebar khabar angin yang mendakwa pasukan VR46 akan meninggalkan Ducati sebaik musim 2023 berakhir.
“Ya, sudah tentu (memiliki pasukan satelit). Kami memang ada hasrat untuk bekerjasama dengan pasukan satelit secepat mungkin. Tahun depan kami tidak ada sebarang kelebihan kerana hanya memiliki dua jentera di grid perlumbaan.
“Ducati dapat mengumpul banyak maklumat pada saingan musim ini. Mereka bukan sahaja ada lapan jentera dalam setiap perlumbaan, malah pelumba-pelumba yang dipertaruhkan sangat pantas,” katanya.
Meskipun kagum dengan kelebihan dimiliki Ducati, namun beliau percaya, Yamaha mungkin berdepan banyak isu sekiranya mengikut jejak langkah Ducati apabila memperuntukkan jentera kepada lebih satu pasukan satelit.
“Memang ada kelebihan ada banyak jentera dalam perlumbaan, namun ia juga membebankan kerana kami perlu menguruskan pasukan-pasukan itu. Bagi saya, empat jentera sudah memadai buat Yamaha,” ujar Jarvis. –AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/12 ... satelit-musim-2024/ |
|