|
MICK Schumacher (kiri) digugurkan sebagai pemandu simpanan Ferrari. FOTO AFP
Paris: Mick Schumacher digugurkan oleh Ferrari sebagai pemandu simpanan dan serentak itu juga dia menandatangani kontrak dengan pesaing mereka, Mercedes dengan peranan sama.
Selepas Ferrari mengumumkan pemandu Jerman berusia 23 tahun itu akan meninggalkan pasukan menerusi persetujuan bersama selepas empat tahun, Mercedes berkata mereka sudah menandatanganinya.
Bapa Mick, Michael memenangi lima gelaran pemandu bersama Ferrari sebelum menamatkan kariernya dengan tiga musim di Mercedes.
Mick Schumacher berlumba dua musim terakhir untuk Haas, yang menggunakan enjin Ferrari.
Dia gagal mencatat mata pada 2021. Tahun ini, penamat terbaiknya sepanjang 22 perlumbaan adalah di kedudukan keenam.
Dia menduduki tempat ke-16 dalam kedudukan pemandu. Haas menggugurkannya pada November dan menandatangani rakan senegara, Nico Hulkenberg yang berusia 35 tahun.
Mercedes, yang bergelut untuk menghadapi perubahan kepada peraturan teknikal Formula Satu musim lalu, sedang sibuk membangunkan model 'W14' mereka.
"Mick akan memainkan peranan penting dalam pembangunan berterusan W14," kata pasukan itu di laman web mereka.
Mercedes dibarisi juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dan George Russell, yang menduduki tempat keempat dalam kedudukan pemandu musim lalu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... her-sertai-mercedes |
|