BANDAR BAHARU: Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini meningkat kepada 35 mangsa daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Relau.
Jumlah itu meningkat, berbanding semalam hanya 14 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan yang dibuka jam 7 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata jumlah itu membabitkan lima lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, 14 kanak-kanak, dua bayi, dan empat warga emas.
Beliau berkata, kesemua mangsa banjir kilat berkenaan adalah daripada enam keluarga dari Kampung 300 kaki, empat keluarga dari Kampung Kilang Batu dan sebuah keluarga di Kampung di Mukim Relau.
"Paras air meningkat sehingga mencecah 0.5 meter menyebabkan kesemua mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan.
"Setakat ini anggota APM masih melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir serta memantau paras air sungai selain membantu memindahkan mangsa ke PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian semalam, 15 rumah membabitkan tiga kampung di tiga mukim di Bandar Baharu terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3 petang.
Antara kampung terbabit adalah Kampung 300 Kaki, Kampung Paya Semambung dan Kampung Kilang Batu di Mukim Relau, Kampung Tengah di Mukim Serdang dan Kampung Balai Lama di Mukim Sungai Kechil Hilir.