CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 583|Reply: 1

Mohon hanya pada Allah

[Copy link]
Post time 17-2-2023 03:53 PM | Show all posts |Read mode
Mohon hanya pada Allah



BERDOALAH kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan bahawa doa kita akan diterima oleh-Nya.



Setiap manusia pernah berhadapan dengan kesusahan dan kesempitan hidup. Apabila ditimba sesuatu musibah, ada dalam kalangan manusia yang merasakan hidup sudah menghampiri pengakhirannya. Seolah-olah tiada lagi jalan keluar untuk kembali menjalani kehidupan yang bahagia. Pada situasi yang lain, manusia berhajat untuk memenuhi keinginan hati dan nafsunya.

Kesemua situasi yang dinyatakan ini mengundang kepada usaha untuk memenuhi keinginan diri dengan jalan pantas. Siapa yang tidak mahu hidup bahagia? Siapa yang tidak mahu hidup yang bebas daripada masalah? Siapa yang tidak mahu keinginannya tercapai dengan sekelip mata?

Tanpa iman yang teguh, maka usaha mencapai keinginan hati itu akan disulami dengan perkara-perkara khurafat. Ditambah pula dengan suasana setempat yang menggalakkan berlakunya perkara khurafat yang merosakkan iman terhadap kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

Tabiat berjumpa bomoh untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan untuk memenuhi hajat di hati masih berlaku dalam kehidupan masyarakat kita. Meskipun dunia semakin canggih dengan teknologi perubatan, namun kelihatannya fenomena berjumpa bomoh untuk tujuan sembuh daripada penyakit masih berlaku.

Sebenarnya hal ini berbalik kepada soal keimanan kita kepada Allah SWT. Hakikatnya, tiada satu doa permohonan yang terlepas daripada perhatian Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Selain itu, ada dalam kalangan manusia yang menemui bomoh untuk menilik masa depannya. Mereka berharap untuk terus mendapat tuah dalam hidup. Golongan seperti ini percaya secara buta terhadap perkhabaran masa depannya berdasarkan kata-kata tukang tilik yang hakikatnya tidak mengetahui keadaan masa depannya sendiri.

Sesungguhnya apa sahaja perkhabaran masa depan yang dikhabarkan oleh manusia selain daripada para nabi dan rasul yang menerima wahyu, ia adalah dusta meskipun perkhabaran itu benar-benar berlaku. Saidatina 'Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!" Rasulullah menjawab: "Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan." (Hadis riwayat Muslim)

Berwaspadalah terhadap setiap ramalan nasib baik dan buruk bagi kehidupan masa depan. Begitu juga dengan firasat berkenaan bulan kelahiran, tahun kelahiran, tanda pada tubuh badan, semuanya merupakan perbuatan khurafat yang menjejaskan iman. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja." (Surah al-An'am, ayat 59)

Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya yang mengunjungi bomoh dan tukang tilik nasib dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu, maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam." (Hadis riwayat Muslim)

Apabila menemui bomoh dan tukang tilik, maka pada kebiasaannya akan dibekalkan tangkal atau azimat tertentu bagi menambah keyakinan bahawa hajat yang diingini pasti tercapai selagi tangkal dipelihara. Secara jelas, perbuatan menemui bomoh yang mengundang dosa syirik itu tidak terhenti dengan satu pertemuan sahaja, malah seseorang boleh kekal berada dalam dosa syirik dengan pengekalan tangkal tersebut pada diri. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik." (Hadis riwayat Ahmad)

Islam merupakan agama yang cukup sempurna. Ada kaedah yang dianjurkan oleh Islam sebagai usaha untuk sembuh daripada penyakit dan mencapai hajat baik yang diingini. Usaha memohon doa kepada Allah SWT secara langsung merupakan antara cara yang terbaik. Sesungguhnya Allah SWT membuka ruang yang amat luas bagi hamba-Nya memohon pertolongan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir, ayat 60)

Berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan bahawa doa kita akan diterima oleh-Nya. Beberapa tatacara doa perlu diketahui agar doa kita diperkenan oleh Allah SWT, antaranya berdoa pada waktu yang mustajab dan berdoa dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT yang mulia. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu." (Surah al-A'raf, ayat 180)

Sesungguhnya bergantung harap kepada sesama manusia pada jalan yang dilarang oleh Allah SWT meruapakan perbuatan yang mengundang dosa syirik. Iaitu dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Sekarang kita telah berada pada era yang kemajuan teknologi tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Pelbagai ikhtiar boleh diusahakan dengan pemanfaatan teknologi tanpa perlu terjebak dalam dosa syirik menyekutukan Allah SWT menerusi perbuatan khurafat. Dalam aspek perubatan contohnya, pelbagai kajian telah menemui penawar bagi penyakit yang dihadapi oleh manusia. Ikhtiar untuk menemui doktor dan pakar perubatan jika berdepan dengan masalah kesihatan dapat menyekat diri daripada terlibat dengan perbuatan khurafat yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Usaha doktor perubatan perlu dilihat sebagai satu ikhtiar kerana yang memberi kesembuhan hanyalah Allah SWT.

Pada masa sama, umat Islam perlu meyakinkan diri bahawa ayat-ayat suci al-Quran boleh dijadikan ikhtiar untuk mendapat kesembuhan daripada penyakit dengan izin Allah SWT. Keyakinan terhadap ayat-ayat al-Quran ini juga boleh menjadi benteng untuk menyelamatkan diri daripada terjebak dengan dosa syirik.

Rasulullah SAW pernah masuk ke dalam rumah Saidatina 'Aisyah lalu mendapati ada wanita sedang merawat 'Aisyah. Lalu Nabi SAW bersabda: "Sembuhkanlah dia dengan al-Qur'an." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Marilah sama-sama kita menjaga diri dan pegangan akidah dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan khurafat yang boleh mengundang dosa syirik. Usah bergantung harap kepada orang lain untuk menjaga akidah kita, sebaliknya berusahalah sendiri untuk melindungi pegangan akidah dengan ilmu yang benar dan panduan syarak.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)



Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... on-hanya-pada-allah

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-2-2023 10:10 AM | Show all posts
Aii nak tumpang bercerita sorry kalau off topic ya.

Dkt masjid yang aii selalu pergi ada tiga batang pokok kurma. Berbuah sangat lebat! Tapi pokok tinggi melangit. Aii pernah makan kurma fres sangatla manis rasa dia so bila tgk buah lebat mmg nak sangatlah buah free ini.

Satu hari (setelah 4 minggu fikir macamana nak kait buah itu) aii berdoa la .. Allahumaini et AL Ahad, As Samad, Al Ladzi etc (sorry kalau salah ejaan) .. aii minta gugurla satu tandan buah itu ke bumi.

Aii tak tau bila lah jatuh nya satu tangkai bersama tiga biji buah kurma. Aii ambil dan cuci .. terus makan. Pahit nak mapuih!!

Tengoklah bertapa BESARnya kuasa Yang Esa. Berdoa lah mintalah kpd dia segala hajat .. lambat cepat jer Allah SWT akan bagi pada kita.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:26 PM GMT+8 , Processed in 0.053175 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list