CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 565|Reply: 0

Haji adakah seperti suruhan atau tafsiran

[Copy link]
Post time 25-2-2023 05:13 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode


Kopipes untuk tatapan ..mohon komen berisi.

HAJI DAN UMRAH MENGIKUT AJARAN QURAN

Mana ada Quran memperincikan cara ibadah haji? Itulah diantara soalan yang selalu ditanya oleh sesetengah pihak yang meragui bahawa Quran itu suatu kitab yang lengkap, mudah difahami dan menjelaskan perkara peribadatan secara terperinci. Untuk itu mari kita tadabbur Quran..

PERIBADATAN KERANA ALLAH
Daripada Quran, didapati bahawa amalan haji dan penyempurnaannya adalah perintah Tuhan. Umrah ialah berkunjung ke Rumah (Kaabah).  Umrah boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi haji terhad empat kali atau musim dalam setahun.

2:196. Sempurnakanlah Haji dan umrah kerana Allah;

3:97  Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah (Kaabah), jika dia boleh membuat jalannya ke sana.

22:27  Dan serulah manusia kepada haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap (haiwan) yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam.

Ayat-ayat tersebut jelas mengatakan haji adalah kewajipan yang perlu dilakukan sendiri oleh orang yang hidup dan berupaya membuat perjalanannya ke Rumah (Kaabah).  Tidak ada ayat yang mengatakan haji boleh dilakukan oleh orang lain, yang dinamakan haji baddal, secara upah atau sukarela untuk yang sudah mati atau uzur.  Maka ‘badal’ haji ajaran ularmak adalah amalan palsu penjaja ibadat untuk membedal wang orang.

MUSIM HAJI MENGIKUT TRADISI
Musim/bulan haji dijelaskan dalam ayat berikut:
2:197 Haji adalah pada bulan-bulan (asyhurun) yang diketahui...

2:197 (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang terma’lum... (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, dengan izin dan di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dan ia dijelaskan pula dalam nota kakinya, “(76) Musim Haji itu ialah meliputi bulan-bulan Syawwal, Zulka’idah dan Zulhijjah.

Ulamak mentafsirkan ayat itu bahawa ada tiga bulan haji dalam setahun iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Anihnya, walaupun mereka mentafsirkan haji boleh dilakukan pada tiga bulan dalam setahun, mereka tetap meneruskan tradisi sekali setahun pada bulan Zulhijjah sahaja.

Dizaman nabi dahulu manusia tidak ramai menunaikan ibadat haji, maka tradisi sekali setahun sudah memadai. Akan tetapi, apabila umat islam sudah ramai dan perjalanan menjadi mudah dengan adanya pengangkutan kapal terbang, jumlah umat Islam yang mahu menunaikan haji telah meningkat  setiap tahun. Peningkatan itu telah menyebabkan kesesakan yang amat teruk walaupun kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota. Akibat kuota itu, ramai yang tidak dapat menunaikan haji sekali seumur hidup mereka. Contohnya Tabung Haji menyatakan orang Malaysia yang mendaftar pada tahun 2010 hanya mungkin dapat menunaikan haji pada tahun 2033!

MUSIM HAJI MENGIKUT QURAN
Adakah amalan haji sekali setahun itu perintah dari Allah kepada Rasulnya yang terakhir? Kalau ia, berarti Allah bersifat kekurangan, kerana Dia tidak menjangka bahawa akan sampai masanya  ramai manusia tidak dapat melakukan ibadat haji yang diperintahkanNya akibat musim haji yang hanya sekali setahun.

MUSIM HAJI MENGIKUT QURAN
Sebenarnya Allah maha mengetahui, oleh itu Dia telah menjelaskan di dalam
Quran bahawa ibadat haji itu boleh dilakukan empat bulan/musim dalam setahun.

Ayat-ayat berkenaan diperturunkan sebagai berikut:

2:197 Haji adalah pada bulan-bulan (asyhurun) yang diketahui.... (Asyhurun adalah kata jamak, berarti minimum TIGA bulan atau lebih).

BULAN-BULAN HARAM

Bulan2 haji dikaitkan dengan bulan2 haram kerana pegistiharan empat bulan haram adalah pada haji akbar iaitu bulan Zulhijjah, bulan yang Nabi melakukan ibadat hajinya. Maka permulaan bulan2 haram itu adalah juga permulaan musim haji yang empat itu. Lebih jelas lagi, bulan2 haram itu adalah juga bulan2 haji.  Ini dijelaskan dalam ayat-ayat berikut:

9:1. Satu kebebasan daripada Allah dan rasul-Nya kepada orang-orang yang menyekutukan yang dengan mereka kamu telah membuat perjanjian.
9:2. "Berpergianlah di bumi selama EMPAT BULAN, dan ketahuilah bahawa kamu tidak dapat mengandaskan Allah, dan sesungguhnya Allah mengaibkan orang-orang yang tidak percaya."
9:3. Satu PENGISTIHARAN daripada Allah dan rasul-Nya kepada manusia PADA HARI HAJI BESAR (Haji Akbar), "Allah berlepas diri, dan rasul-Nya, daripada orang-orang yang menyekutukan. Maka jika kamu bertaubat, itu lebih baik bagi kamu; tetapi jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa kamu tidak dapat mengandaskan Allah." Dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang yang tidak percaya dengan azab yang pedih,
9:5. Kemudian, apabila bulan-bulan haram telah pergi, bunuhlah orang-orang yang menyekutukan di mana sahaja kamu mendapati mereka ….

9:36 Bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah pada hari Dia mencipta langit dan bumi. EMPAT daripadanya HARAM (larangan). Itulah agama yang betul.

Bulan-bulan haram itu ada empat (9:2) dan (9:36).. Bulan-bulan haram itu adalah juga bulan-bulan haji kerana pengistiharan (permulaan) bulan haram itu adalah pada haji permulaaan/pertama yang diketahui sebagai Haji Akbar (9:3).

Haram ertinya larangan, bukan suci. Dalam empat bulan haram/larangan itu, dilarang membunuh orang-orang kafir (9:2 dan 9:5) dan bagi orang-orang yang melakukan ibadah haji, dilarang pula beberapa perkara yang tertentu.

Maka bulan-bulan haram itu adalah juga bulan-bulan haji yang dimulakan dengan Zulhijjah (haji akbar) dan diikuti pula berterusan dengan bulan Muharram, Safar dan Rabiul Awal yang menjadikannya genap empat bulan, berturut-berturut.

Kaabah, destinasi atau halatuju haji, juga dikaitkan dengan bulan haram. Ini menjelaskan lagi bahawa haji itu adalah dalam bulan-bulan haram. Ia diterangkan dalam ayat berikut:

“Allah membuatkan Kaabah, Rumah Haram, sebagai satu penetapan bagi manusia, demikian juga bulan haram,…” (5:97)

BILA WAKTU HAJI
Waktu haji dijelaskan dalam Quran:
“Mereka menanyai kamu mengenai al-ahillah, (awal bulan atau anak bulan). Katakanlah, ‘Mereka adalah waktu-waktu yang ditetapkan bagi manusia, dan haji’” (2:189).

Ayat Quran di atas jelas mengatakan bahawa awal bulan, yang disebut di dalam Quran sebagai “al-ahillah” itu adalah waktu yang ditetapkan bagi haji. Haji bermula dengan wukuf di Arafa.  Oleh itu jemaah hendaklah berwukuf di Arafah pada hari pertama bulan-bulan haji dan bukan hari ke sembilan seperti yang diamalkan sekarang.

HURUM (larangan-larangan)

Kalimat hurum sebenarnya adalah kata jamak (plural) bagi haram, yang ertinya larangan (dalam kontek ini, beberapa larangan yang ditetapkan bagi orang yang mengerjakan haji). Seseorang itu berada dalam keadaan larangan setelah dia menetapkan dirinya untuk mengerjakan ibadah Haji mulai awal bulan haji, selama minimum dua hari atau sehinggalah dia menyempurnakan ibadat hajinya.

Ayat-ayat yang mengandunginya adalah seperti di bawah:

"... supaya kamu tidak menganggap bahawa binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam hurum (larangan)." (5:1)

"Janganlah membunuh binatang buruan sedang kamu dalam hurum (larangan); sesiapa antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebusan - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia merasai keburukan daripada pekerjaannya." (5:95)

"Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan (dilarang) kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam hurum (larangan);" (5:96)

Terdapat beberapa lagi larangan sesudah menetapkan diri untuk haji. Larangannya adalah bercampur dengan isteri, berbuat fasiq dan juga berbantahan.

Firman-Nya,
"Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang menetapkan untuk haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh berbuat fasiq, dan tidak boleh berbantahan semasa dalam Haji" (2:197).

Tidak terdapat larangan bercukur, memotong kuku atau memakai minyak wangi. Juga tiada larangan bertawaf bagi wanita yang haid, rujuk ayat (2:222).

PAKAIAN
Tidak terdapat satu pun kalimat ‘ihram’ di dalam Quran! Quran tidak menetapkan keseragaman atau warna pakaian dan tidak juga terdapat larangan memakai pakaian yang berjahit diwaktu melakukan haji atau umrah. Bahkan Quran menyuruh manusia memakai pakaian yang indah berhias pada tiap-tiap kali mereka ketempat ibadat atau mengerjakan sembahyang. Sebagai contoh, terjemahan “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman” (JAKIM):

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).....(7:31)
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambanya,... (7:32)

Bukankah Arafah dan Masjidil Haram itu tempat ibadat, dan tidakkah orang mengerjakan sembahyang (solat) dalam waktu mereka melakukan ibadat haji? Mengapakah mereka tidak memakai pakaian yang indah berhias disebaliknya berselubung dengan dua helai kain putih ihram yang tidak berjahit, kelihatan seperti sami Hindu dan Budha? Siapakah yang telah berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya? Tentunya pakaian ihram seperti sami Budha dan Hindu itu bukan pakaian yang indah berhias.

Berkaitan minyak wangi, kitab tafsir yang sama dalam nota kakinya nombor (201) menyatakan: “Dalam hadith Nabi (s.a.w.) juga ada diterangkan supaya kita berhias dengan memakai pakaian yang indah ketika hendak ke masjid mengerjakan sembahyang, terutama pada hari Juma’at dan Hari raya, dan juga memakai bau-bauan yang semerbak harum.”   Kenapa mereka tidak buat apa yang mereka kata?

PERIBADATAN
Ibadah haji bermula di Arafah dan disempurnakan di Kaabah. Bukti bagi kenyataan tersebut terdapat dalam -Quran.

Upacara haji bermula dengan berkumpul di Arafah, dan kemudian, bergerak menuju ke Rumah (Kaabah), melalui Masy'aril Haram, Safa dan Marwa, dan masuk ke Masjidil Haram. Mengingati Allah dengan banyak, memohon ampun kepada-Nya, memenuhi nazar yang telah dibuat, melakukan tawaf, iktikaf, solat dan memberi hadiah.

Untuk penjelasan selanjutnya, tetapi dengan ringkas sahaja, diturunkan ayat-ayat Quran menurut urutan peribadatan dalam Haji dari awal hingga ke akhir:

1. Bertolak dari Arafah
Bertolak dari Arafah. Firman-Nya,
“...Apabila kamu bertolak dari Arafah ..... Kemudian bertolaklah dari mana manusia bertolak dan mintalah ampun kepada Allah...” (2:198-199).

Tiada sebutan tentang mengutip batu-batu sekecil tahi kambing di Muzdalifah untuk melontar setan-setan yang menghuni tiga tiang batu (sekarang diubah menjadi dinding-dinding batu) di Mina.  Adakah Allah terlupa menyebutkannya?

2. Ingat Allah
“...Apabila kamu bertolak dari Arafah, ingatlah Allah di sisi Monumen Haram (Masy'aril Haram), dan ingatlah pada-Nya (Allah) oleh kerana Dia telah memberi petunjuk kepada kamu, sedang sebelum itu kamu adalah orang-orang yang sesat” (2:198).

3. Safa dan Marwa
Dari Arafah jemaah haji bertolak hingga sampai di satu lembah antara bukit Safa dan bukit Marwa, yang menjadi laluan mudah untuk berulang alik (bertawaf) ke Kaabah. Allah mengatakan tidak salah bagi mereka lalu bertawaf antara dua bukit itu.

Hari ini bertawaf antara bukit Safa dan bukit Marwa sudah bertukar kepada  ‘bersaie’ dengan berulang alik tujuh kali dari bukit Safa ke bukit Marwa. Hari ini lembah antara bukit Safa dan bukit Marwa itu pun sudah tiada kerana sudah diratakan. Quran menjelaskan:

“Safa dan Marwa adalah di antara tanda-tanda Allah, maka sesiapa melakukan Haji di Rumah (Kaabah), atau berkunjung (umrah), tidaklah bersalah ke atasnya untuk bertawaf (berulang alik) ke Rumah (Kaabah).  antara keduanya” (2:158).

4. Masuk Masjidil Haram
Kemudian, mereka masuk ke Masjidil Haram. Firman-Nya,
“Sesungguhnya Allah menjadikan benar visi/mimpi rasul-Nya, dengan pasti: ‘Kamu akan memasuki Masjidil Haram, jika Allah mengkehendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa berasa takut’" (48:27).

5. Tawaf (tatawafa)
Tawaf (berjalan berulang kali) dilakukan di keliling Rumah Tua (Kaabah). Tidak pula disebut berapa pusingan, kerana menetapkannya adalah suatu yang tidak wajar. Satu pusingan yang paling jauh dari Kaabah mungkin sama jaraknya dengan tujuh pusingan ditepi Kaabah. Maka terpulanglah mengikut keadaan, dan keupayaan/kesihatan masing-masing untuk melakukannya. Dalam keadaan yang amat sesak, seseorang wajar ikhlas dan bertimbangrasa menghadkan  pusingan tawafnya untuk memberi kelapangan kepada orang lain yang belum melakukan tawaf. Firman-Nya,

“...dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).
“Bersihkanlah Rumah-Ku (Kaabah) untuk orang-orang yang mengelilinginya (tawaf),... (2:125)

6. Iktikaf
Iktikaf dilakukan di Rumah (Kaabah) disamping tawaf. Firman-Nya,

“Bersihkanlah Rumah-Ku (Kaabah) untuk orang-orang yang mengelilinginya (tawaf), dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud.” (2:125)

7. Solat

Solat dilakukan di medan (makam) Ibrahim. Firman-Nya,

“Dan apabila kami membuatkan Rumah (Kaabah) untuk menjadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, ‘Ambillah bagi kamu medan Ibrahim untuk tempat solat’" (2:125).

8. Pemberian atau berpuasa
Orang bukan penduduk sekitar Masjidil Haram yang menikmati umrah sementara menunggu haji dikehendaki memberi hadiah atau berpuasa sepuluh hari. Firman-Nya,

“Apabila kamu berasa aman, sesiapa yang menikmati umrah sehingga haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati, atau jika dia tidak mendapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itulah sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir (bukan penduduk) Masjidil Haram.” (2:196).

9. Menepati Nazar
Barangsiapa yang bernazar, hendaklah menepatinya. Firman-Nya,

“Kemudian hendaklah mereka menghilangkan kecuaian mereka dan hendaklah mereka menepati nazar mereka, dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).

10. Bilangan Hari
Ibadat haji boleh diselesaikan paling minimum dalam dua hari, tetapi kebiasaannya orang menyempurnakannya dalam tiga hari. Seseorang boleh melambatkannya akan tetapi dibimbangkan ia akan menyusahkan atau rosak ibadat hajinya, sekiranya seseorang itu melanggar larangan-larangannya.

“…Jika sesiapa bercepat-cepat dalam dua hari, itu tidaklah berdosa baginya; dan jika sesiapa melambatkannya, ia bukanlah satu dosa padanya, jika dia bertakwa” (2:203).

11. Selepas selesai
Setelah melaksanankan peribadatan, ingatlah Allah dengan banyak dan berdoa seperti yang ditunjukkan di dalam ayat berikut:
“Apabila kamu telah melaksanakan peribadatan kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu mengingati bapa-bapa kamu, atau lebih ingat.” (2:200)

Dan doa yang diajarkan ialah:
"Wahai Pemelihara kami, berilah kami di dunia, yang baik, dan berilah kami yang baik di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab Api." (2:201)

PERBEZAAN
Walau apapun, perbezaan antara amalan haji di dalam Quran dengan yang lazim dilakukan oleh umat pada hari ini mengikut ajaran ulamak, yang berdalih atas nama Nabi atau Rasul, adalah jelas kelihatan. Misalannya, tarikh menunaikan haji, empat musim haji dalam setahun, larangan pakaian yang berjahit, larangan bercukur, memotong kuku, memakai minyak wangi, amalan melontar tiang batu di Mina,  sa'i di Safa dan Marwa, pakaian ihram, mencium atau melambai batu hitam dan larangan tawaf bagi wanita dalam haid. Quran tidak melarang wanita dalam haid melakukan sebarang ibadat walaupun solat dan puasa, inikan tawaf. Satusatunya larangan berkaitan haid yang diajarkan Allah kepada Nabi hanyalah yang terdapat dalam ayat 2:222 sebagai berikut:

2:222   Mereka menanyai kamu mengenai haid. Katakanlah, "Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan mendekati mereka sehingga mereka bersih.

Perkara-perkara yang diada-adakan itu tidak disebut Allah di dalam Kitab Nya. Mungkinkah Allah telah terlupa? Firman-Nya,

"Kami tidak mengalpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38).

Haji mengikut ajaran Quran adalah amat mudah, tidak memerlukan kursus panjang bersiri dan mentelaah kitab-kitab yang tebal.  Adalah jelas, Quran memang ada memperincikan cara ibadat haji, tetapi ia agak berbeza dari yang diajarkan ulamak. Ini adalah usaha untuk kembali kepada Quran setelah kita diselewegkan darinya sekian lama.  Mari kita bersama-sama mentadabbur Quran.  Jika ada kesilapan pada penjelasan di atas mohon diperbetulkan dan kongsikan.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:05 PM GMT+8 , Processed in 0.064045 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list