CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 330|Reply: 0

[Kedah] Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300

[Copy link]
Post time 2-3-2023 06:34 PM | Show all posts |Read mode
Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 2, 2023 @ 5:23pm [email protected]




Mohd Nizam Noh (kiri) dibawa dari lokap mahkamah selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret Alor kerana gagal mematuhi 26 'award' (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli




ALOR SETAR: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah didenda RM80,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal mematuhi 26 'award' (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.

Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhi hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn Bhd sebaik Mohd Nizam Noh, 50, selaku pengarah syarikat terbabit mengaku bersalah atas semua 26 pertuduhan yang dihadapi syarikat itu melalui prosiding yang berlangsung selama dua hari iaitu semalam dan hari ini.

Dalam prosiding berlangsung semalam, syarikat itu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes yang dihadapkan terhadapnya.

Bagaimanapun untuk pertuduhan hari ini, syarikat itu didenda RM3,000 bagi setiap satu daripada 10 kes yang dihadapkan manakala RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.

Namun sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat terbabit.

Mohd Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 'award' dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.

Bagaimanapun, menerusi 'award' dikeluarkan TTPM itu, syarikat terbabit diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun bayaran itu langsung tidak dilakukan sehingga kini.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd Hilmi Abu Hassan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

Terdahulu ketika diberi peluang membuat rayuan, Mohd Nizam yang hadir ke mahkamah dengan diiringi pegawai penjara merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Malah sekiranya dihukum penjara, dia memohon supaya terus ditempatkan di Penjara Kluang kerana sedang menjalani kelas tahfiz di situ, bagi memperbaiki dirinya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal, dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes berkenaan.










Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-3-2025 03:44 AM GMT+8 , Processed in 0.096469 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list