KANGAR: Tiga individu termasuk dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis bagi membantu siasatan berhubung meminta suapan rasuah sebagai perlindungan kepada bot nelayan di perairan Perlis.
Suspek ditahan di tiga lokasi berbeza di Kangar, Sandakan dan Kota Kinabalu di mana dua suspek anggota APMM itu pernah bertugas di Zon Maritim Langkawi sebelum ditukarkan ke Sabah pada Februari lalu.
Dalam perkembangan sama, salah seorang suspek yang ditahan yang juga seorang pengurus syarikat perikanan di Kuala Kedah direman sehingga esok.
Sumber SPRM berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan kerana dipercayai menjadi 'orang tengah' kepada suspek anggota APMM dalam meminta rasuah antara RM1,000 hingga RM2,800 daripada beberapa pemilik atau 'tauke' bot nelayan di sekitar perairan Langkawi untuk tidak diambil sebarang tindakan sekiranya melakukan kesalahan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Satu Kangar, selepas suspek dibawa ke mahkamah itu petang ini.
"Siasatan awal kita mendapati suspek disyaki meminta suapan antara RM1,000 hingga RM2,800 daripada beberapa pemilik atau 'tauke' bot nelayan berkenaan sejak 2021.
"Suspek APMM yang ditahan di Sandakan adalah berpangkat Laskar Kanan Maritim dengan gred T44 berusia 31 tahun manakala rakannya pula adalah anggota APMM berpangkat Bintara Kanan berusia 40 tahun," katanya.
Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan berkenaan.
Terdahulu, suspek ditangkap di Pejabat SPRM Perlis di Kangar jam 5 petang semalam selepas dibawa dari pejabatnya untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Sehingga kini sembilan individu tujuh daripadanya anggota APMM ditahan bagi membantu siasatan meminta suapan rasuah daripada pemilik dan 'tauke' bot sekitar perairan Perlis dan Langkawi.