
Tangkap layar video tular oleh pemilik restoran Tong Kayu Kafe, Mohamad Fakhrullah Shahran, 30, di Jalan Bukit Kecil di sini, mengenai jualan Menu Rahmah yang tidak mendapat sambutan di salah anggap oleh orang ramai. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO TULAR
BAYAN LEPAS: Tindakan pemilik restoran Tong Kayu Kafe di sini, menghentikan jualan makanan Menu Rahmah adalah disebabkan hidangan itu tidak mendapat sambutan sejak ianya diperkenalkan bulan lalu.
Malah, kedudukan lokasinya yang dikatakan kurang sesuai juga menyebabkan pemilik restoran itu mengambil keputusan berkenaan, sekali gus menjadi tular di media sosial.
Pemilik restoran itu, Mohamad Fakhrullah Shahran, 30, berkata, dia memperkenalkan hidangan Menu Rahmah nasi ayam kicap dan nasi ayam goreng kunyit yang berharga RM5 setiap satu hidangan sejak 18 Februari lalu.
Bagaimanapun, berikutan tiada sambutan dia terpaksa berhenti menjual hidangan itu Khamis lalu.
"Keputusan saya bagi hentikan jualan Menu Rahmah ini kerana ia tidak dapat sambutan selain lokasinya yang tidak sesuai untuk diperkenalkan menu berkenaan.
"Jadi saya minta orang ramai supaya berhenti menyalahkan kerajaan yang sudah berusaha memperkenalkan kaedah itu bagi membantu rakyat," katanya mengulas video mengenai keputusannya bagi menghentikan jualan Menu Rahmah, tular selepas ia dimuatnaik di media sosial premis berkenaan.
Mohamad Fakhrullah berkata, hidangan berkenaan tidak pernah dijual sebelum ini dan dibuat khusus bagi Menu
Rahmah malah sepanjang tempoh berkenaan tetapi beliau mendapati tidak sampai 100 bungkusan yang dijual, menyebabkan berlaku pembaziran.
"Punca ia tidak mendapat sambutan mungkin kerana faktor lokasi premis ini yang dikelilingi kawasan perumahan berkeluarga dan bukan dalam kalangan pekerja pejabat atau perindustrian.
"Kadar sewaan premis yang tinggi juga menyebabkan saya tidak mampu lagi menanggung kerugian berikutan jualan yang tidak mendapat sambutan itu," katanya.
Menerusi video tular berkenaan, Mohamad Fakhrullah menjelaskan mengenai pemberhentian jualan berkenaan namun disalah anggap oleh orang ramai.
Beliau berkata, menu yang tidak mendapat sambutan itu bukan bermakna tidak sedap tetapi beberapa hidangan lain yang dijual di restorannya juga mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, terdapat sebanyak 33 jenis hidangan lain berharga antara RM7 hingga RM19 setiap satu, mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penjualan melebihi 100 bungkus sehari.