CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8830|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pulau Pinang yakin capai sasaran pertumbuhan ekonomi

[Copy link]
Post time 14-3-2023 09:14 PM | Show all posts |Read mode
Pulau Pinang yakin capai sasaran pertumbuhan ekonomi


Mac 14, 2023 @ 9:07pm





Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow -NSTP/Mikail Ong



GEORGE TOWN: Pelan pembangunan komprehensif kerajaan Pulau Pinang, Wawasan Pulau Pinang 2030 (Pulau Pinang 2030), akan meningkatkan keupayaan negeri untuk memenuhi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus menjelang 2025, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, selepas kembali pulih daripada krisis COVID-19, negeri itu yakin tetapi berhati-hati bahawa pemulihan ekonomi secara beransur-ansur akan tercapai hasil daripada asas ekonomi kukuh dan sektor pembuatan berdaya tahan disokong oleh sektor perkhidmatan yang semakin pulih.

"Pulau Pinang 2030 adalah pelan pembangunan komprehensif yang bertujuan untuk mengubah Pulau Pinang menjadi negeri pintar, hijau dan inklusif menjelang 2030.

"Justeru, Pulau Pinang menyasarkan untuk memenuhi unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 5.4 peratus menjelang 2025," katanya pada ucapan makan tengah hari khas di Sidang Kemuncak 'Penang Future Forward' di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, ekonomi Pulau Pinang pasca COVID-19 merekodkan pertumbuhan 6.8 peratus bagi 2021, ia berdasarkan kekuatan pertumbuhan enjin ekonominya iaitu pembuatan dan perkhidmatan serta ekonomi digital yang mencatatkan jumlah pelaburan RM107.2 bilion dan disokong oleh 51,000 pekerjaan yang dicipta sepanjang tempoh 2019 hingga 2021.

Beliau berkata, Pulau Pinang berkhidmat sebagai hab pengangkutan utara utama Malaysia dan mempunyai sejarah panjang sebagai laluan perdagangan yang menarik ramai rakan dagang dari seluruh dunia.

"Hari ini, Pulau Pinang adalah Lembah Silikon dan menempatkan banyak syarikat terkemuka semikonduktor elektrik dan elektronik (E&E) multinasional," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang 2030 dilancarkan pada 2018 sebagai rangka kerja dasar untuk negeri itu menjadi negeri yang berfokuskan kekeluargaan, hijau dan pintar yang bukan sahaja menerajui negara tetapi juga bertindak sebagai inspirasi melalui projek yang berjaya dan agenda pembangunannya.

"Kini, Pulau Pinang memasuki tahun kelima program 12 tahun Pulau Pinang 2030 dengan kemajuan keseluruhan direkodkan kira-kira 45 peratus.

"Tahap kemajuan dalam pelbagai bidang setakat ini adalah positif dan ia mungkin akan melebihi sasaran ditetapkan sebelum 2030," katanya.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata ketika negeri itu akan terus berusaha bagi mencapai matlamat Pulau Pinang 2030, ia berazam untuk tidak melupakan perkara yang paling penting iaitu kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Ini boleh diukur melalui pelbagai indeks tetapi akhirnya ia adalah mengenai bagaimana kehidupan seharian dialami dan apa yang diperoleh sebuah keluarga dan individu," tambahnya.

Sidang kemuncak sehari bertemakan 'Future Proof Penang for the New Global Economy' itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan the Malaysia International Chamber of Commerce Industry Penang Branch.

-BERNAMA








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-3-2025 03:27 AM GMT+8 , Processed in 0.328641 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list