Butterworth: Dua lelaki warga United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana terbabit
sindiket penipuan pelaburan antarabangsa dengan kerugian lebih RM52,000.
Llyod George Beedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, masing-masing dihukum demikian selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap pada 21 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi telah menipu dua lelaki rakyat Austria bernama Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.
Ia bagi
memperdaya mangsauntuk mempercayai bahawa mereka dijamin mendapat keuntungan tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham syarikat dikenali Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.
Kedua-dua tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan AUD8,991.92 (RM27,009.03) dan AUD8,573 (RM25,768.81) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn Bhd di Island Plaza Tower, Jalan Tanjung Tokong, dekat sini pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari 2023.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman, sementara tertuduh diwakili peguam V Muniandy dan A Ashok.
Berdasarkan fakta kes, sindiket penipuan itu bertapak di sekitar Georgetown sejak 2016 dan SPRM melakukan operasi dengan bantuan beberapa agensi lain pada 21 Februari lalu, serentak di Lembah Klang.
Op Tropicana itu menyerbu beberapa premis di Pulau Pinang dan Lembah Klang sebagai 'boiler room' atau pusat operasi sindiket dan daripada siasatan, sindiket yang dianggotai tertuduh didapati telah berjaya menipu ribuan mangsa di seluruh dunia.