GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan beberapa langkah kejuruteraan bagi memastikan sumber bekalan air di negeri itu tidak terputus susulan penyusutan kadar efektif air di dua empangan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata antaranya mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Katanya, untuk mengatasi isu yang sedang berlaku kerja-kerja mengepam lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang turut dijalankan.
"Ia melalui tiga set saluran paip berkembar dasar laut untuk menyokong bekalan air di bahagian Pulau. Dalam masa sama, pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Teluk Bahang diminimumkan seboleh mungkin, tanpa menjejaskan perkhidmatan bekalan air.
"Langkah ini adalah untuk mempertahankan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang secara strategik selama mungkin berikutan cuaca panas ketika ini," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Zairil berkata PBAPP turut melakukan penjadualan semula terhadap kerja-kerja paip berjadual untuk minimumkan pembaziran air selain memberi respons kepada aduan awam mengenai paip pecah atau bocor secepat mungkin.
Katanya, pada masa sama, menyediakan pelan kontingensi untuk menangani permintaan air di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA) jika musim kemarau semasa berterusan.
Menurutnya, data analisis penggunaan PBAPP tahun lalu menunjukkan penggunaan air domestik menyumbang 61.5 peratus daripada
purata penggunaan harian Pulau Pinang sebanyak 868 juta liter sehari (JLH).
"Oleh yang demikian, semua penduduk di Pulau Pinang dimohon supaya tidak membiarkan paip mengalir, elakkan penggunaan hos, bersihkan kenderaan sekiranya perlu sahaja.
"Jika hendak menyiram tanaman dan pokok diminta menggunakan tin penyiram dan bukannya hos selain baiki semua paip dan pili yang bocor dengan segera. Disamping itu, simpan air sekurang-kurangnya untuk keperluan sehari isi rumah sahaja," katanya.
Ketika ini, Kadar Efektif Empangan Air Itam merekodkan penyusutan 46.1 peratus berbanding 51.8 peratus pada Isnin lalu manakala Empangan Teluk Bahang pula yang merekodkan 51.3 peratus minggu lalu kini menyusut kepada 49.8 peratus.