
Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan (kiri) menunjukkan nasi minyak berlauk ayam dan daging beralaskan daun pisang dalam talam sempena kenduri sambutan malam 27 Ramadan di Masjid Kapitan Keling. Tradisi yang diamalkan sejak dibangunkan masjid pada tahun 1801, dilaksanakan kembali selepas tiga tahun terhenti akibat negara dilanda COVID-19. - Foto NSTP/Danial Saad
GEORGETOWN: Seramai 1,500 jemaah tidak melepaskan peluang menikmati nasi talam beralaskan daun pisang sempena sambutan malam ke-27 Ramadan anjuran Masjid Kapitan Keling, malam tadi.
Pengerusinya, Datuk Faruk Raja Mohamed, berkata sejumlah 400 talam sajian yang terdiri daripada nasi minyak, daging masak merah, ayam masak bawang, dalca dan acar itu diedarkan kepada orang ramai usai solat terawih.
"Program ini adalah antara inisiatif menghidupkan sunnah Rasulullah SAW iaitu makan secara berjemaah menggunakan talam atau dulang Insya-Allah ada keberkatan selain mengeratkan ukhuwah sesama jemaah.
"Kami turut menyediakan 200 pek hidangan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan orang awam selain mengadakan tahlil perdana program ceramah, qiamullail diikuti jamuan sahur dan solat Subuh secara berjemaah.
"Semoga usaha kita semua menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan mendapat ganjaran Allah SWT dan meningkatkan peluang mendapatkan Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan," katanya kepada pemberita awal hari ini.

GEORGE TOWN, 18 April -- Setiausaha Masjid Kapitan Keling Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan (kiri) bersama ahli jawatan kuasa yang lain menunjukkan 400 talam nasi minyak berlauk sebelum dihidangkan kepada kira-kira 2,000 umat Islam yang menunaikan solat sunat Tarawih sempena kenduri malam seminggu terakhir Ramadan di Masjid Kapitan Keling malam tadi.
Faruk berkata, lebih istimewa hidangan itu dimasak secara bergotong-royong oleh jawatankuasa masjid termasuk membabitkan tugas membersihkan 250 ekor ayam.
Beliau menyifatkan sambutan itu amat bermakna memandangkan selama tiga tahun ia diadakan secara sederhana dengan juadah itu hanya diedarkan secara bungkus disebabkan pandemik COVID-19.
Turut memeriahkan sambutan semalam adalah pengerusi masjid serta surau berdekatan termasuk dari Masjid Al-Bukhary Bandar Baru Sungai Pinang, Masjid Alimsah Waley dan Surau Taman Saujana Damai Bayan Lepas.
Dalam pada itu beliau berkata Ramadan tahun ini turut menyaksikan peningkatan pengunjung yang hadir ke Masjid Kapitan Keling untuk berbuka puasa dengan 230 hingga 300 pek makanan disediakan setiap hari sejak awal Ramadan lalu berbanding 100 hingga 150 pek pada tahun sebelumnya.
"Lebih 70 peratus daripada mereka adalah musafir dan Alhamdulillah tidak kira seramai mana yang datang makanan cukup untuk semua orang dengan ada sahaja bermurah hati bersedekah makanan untuk menampung keperluan kami di sini," katanya.