|

SYABU dan heroin yang dirampas dari seorang lelaki di Gurun, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Alor Setar: Polis Kedah menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM214,288 dalam dua serbuan berasingan pada Selasa dan semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi, Jitra jam 3.20 petang pada Selasa lalu, menahan seorang lelaki di bilik pertama rumah terbabit.
"Hasil pemeriksaan dalam bilik itu, polis menemui sebuah beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5,025 gram di atas lantai.
"Hasil soal siasat terhadap suspek, pada 4 petang hari sama, polis menahan dua lelaki di dalam Toyota Alphard di tempat letak kenderaan, hadapan sebuah hotel di Kepala Batas, dekat sini.
"Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal tidak menjumpai apa-apa barang salah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Hassan berkata, polis turut merampas serangkai kunci yang terdapat lima batang anak kunci dari dalam kenderaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, siasatan masih dilakukan terhadap ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 47 tahun itu.
"Nilai rampasan dadah RM180,900 manakala nilai sitaan harta RM 343,500 termasuk kenderaan.
"Kesemua suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Katanya, semalam, polis melakukan serbuan kedua di kawasan tempat letak kereta di sebuah kedai makan berhampiran susur keluar Bukit Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, Jitra pada jam 4 petang.
Wan Hassan berkata, dalam cubaan menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Kia Cerato warna merah, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan cuba merempuh anggota.
Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun itu juga bertindak merempuh dua kenderaan milik pasukan polis dan memandu kereta terbabit ke jalan utama Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan).
"Namun pada 7 petang hari sama, polis berjaya menahan suspek terbabit di kawasan belakang medan makan kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun (Arah Selatan), Gurun, di Kuala Muda.
"Hasil pemeriksaan fizikal menemui alat kawalan jauh kenderaan di dalam poket seluar yang dipakai suspek.
"Suspek kemudian menunjukkan kenderaan yang dinaikinya iaitu kereta Kia Cerato warna merah yang diletakkan di tempat letak kereta di kawasan itu," katanya.
Wan Hassan berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemui sebuah plastik warna hitam di atas kerusi penumpang hadapan yang mengandungi satu plastik lutsinar berikat getah berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 510 gram.
Beliau berkata, turut ditemui sebuah plastik warna hitam yang mengandungi empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 1,817.31 gram.
"Nilai rampasan dadah terbabit bernilai RM33,388 manakala sitaan harta wang tunai RM400.
"Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 207 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960," katanya.
Wan Hassan berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN PDRM Kedah dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-bernilai-rm214288 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|