Baling: Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Seri Baling, Jalan Weng, di sini tengah malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Phaik Luang
@ Lim Pek Aie, 82, yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan.
Kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan tiga buah rumah di taman perumahan itu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 12.01 tengah malam tadi dan mengarahkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi kebakaran.
Beliau berkata, anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Baling tiba di lokasi kejadian untuk membuat kawalan.
"Sebaik tiba di situ, dimaklumkan keadaan api ketika itu marak dan anggota polis membuat kawalan sementara menunggu pihak bomba tiba.
"Pihak bomba seramai 10 orang melakukan operasi pemadaman dan berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain berhampiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, hasil pemeriksaan pihak bomba menemui mayat rentung dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku.
"Tiada mangsa lain dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.
"Si mati dipercayai terperangkap di dalam rumah kerana tidak dapat keluar sewaktu kebakaran berlaku," katanya.
Menurutnya, jarak antara kedua dua rumah itu lebih kurang lima meter.
Beliau berkata, ketika kejadian, anak mangsa datang ke tempat kejadian dan mengesahkan bahawa rumah yang terbakar adalah milik ibunya.
Menurut saksi, kebakaran dipercayai bermula dari rumah si mati seterusnya merebak ke rumah lain yang terletak bersebelahan.
Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain berhampiran.
"Berdasarkan laporan awal, kebakaran berkemungkinan berpunca berlaku disyaki lintas pintas dan tiada unsur jenayah.
"Bagaimanapun, siasatan masih di teruskan untuk mencari punca sebenar kejadian kebakaran berlaku.
"Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, kebakaran itu membabitkan tiga buah rumah kelas B dua tingkat yang mengakibatkan kemusnahan 90 peratus pada rumah pertama dan kedua manakala sebuah rumah lagi 80 peratus musnah.
Jurucakap itu berkata, mangsa iaitu wanita warga emas yang ditemui rentung diserahkan kepada polis pada jam 3.30 pagi dan operasi tamat pada jam 5.14 pagi.