CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 194|Reply: 0

[Pulau Pinang] Op Khas Pagar Laut berjaya tumpaskan 12 kes berprofil tinggi

[Copy link]
Post time 28-4-2023 01:52 PM | Show all posts |Read mode
Op Khas Pagar Laut berjaya tumpaskan 12 kes berprofil tinggi



BERNAMA



DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Kapten Maritim Abd Razak Mohamed (empat dari kiri). FOTO Mikail Ong



Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan menerusi Op Khas Pagar Laut 2023 dengan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM13 juta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data itu ialah kejayaan dua minggu pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara iaitu bermula 9 hingga 25 April lalu.

"Op Khas Pagar Laut itu membabitkan 800 pegawai dan anggota APMM untuk mengawal sempadan negara membabitkan seluruh perairan negara di sepanjang 3,000 kilometer dan operasi berkenaan masih berbaki lagi 48 jam.

"Daripada 12 tangkapan berprofil tinggi itu, masing-masing tiga kes tangkapan membabitkan cubaan menyeludup masuk rokok dan kes pencerobohan bot nelayan asing, manakala masing-masing dua kes cubaan kemasukan pendatang tanpa izin serta kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak.

"Satu kes cubaan mencuri dan satu kes cubaan rompakan berkumpulan iaitu APMM Johor berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjata membabitkan empat warga tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lalu, mereka ditahan menurut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution ditemui selepas sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota APMM yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, secara keseluruhan beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan Op Khas Pagar Laut itu dan ia adalah usaha berterusan APMM dalam menjaga perairan negara demi keselamatan semua.

Katanya, APMM juga akan terus memperketat lagi kawalan dan mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

"Melalui tindakan berterusan yang dijalankan oleh APMM itu akan dapat mengurangkan sekali gus menghentikan aktiviti jenayah seperti penyeludupan warga asing dan penyeludupan rokok di muara Tok Bali (Terengganu), itu antara insiden berprofil tinggi yang kita dapat kesan dan pencerobohan bot nelayan asing dan banyak lagi.

"Jumlah rampasan RM13 juta itu membabitkan penyeludupan rokok, barang kawalan seperti petrol dan minyak masak serta bot-bot nelayan warga asing yang menceroboh menangkap ikan di perairan negara. Daripada 42 kes tangkapan itu, 32 tangkapan membabitkan warga asing," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 45 aset diletakkan dalam keadaan siap siaga 24 jam sehari untuk menjalankan pemantauan termasuk pemantauan udara dengan menggunakan aset-aset udara APMM, malah pengesanan menggunakan radar turut dijalankan kerana dari situ APMM berjaya mendapatkan maklumat terhadap pergerakan yang mencurigakan.

"Bagi kes rompakan di Johor itu, selalunya paten jenayah macam ini membabitkan warga asing tapi untuk Op Khas Pagar Laut kali ini yang dikesan di Tanjung Langsat itu adalah warga tempatan dan susulan itu kami tingkatkan serta perketat lagi penguatkuasaan.

"APMM tidak akan leka dan mengabaikan tugas hakiki mereka terutama dalam mengesan serta mengawal apa-apa elemen pencerobohan yang boleh mengancam," katanya.




Disiarkan pada: April 28, 2023 @ 1:37pm












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 01:27 AM GMT+8 , Processed in 0.033523 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list