|
DUA remaja maut selepas motosikal yang ditunggang masing-masing bertembung satu sama lain ketika di jalan utama Felda Air Tawar 4 di sini, malam tadi. FOTO ihsan Polis
Kota Tinggi: Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang bertembung satu sama lain di jalan utama Felda Air Tawar 4 di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.40 malam itu, mereka yang masing-masing menunggang Yamaha Y15 ZR dilaporkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kedua-dua penunggang motosikal adalah dua lelaki yang masing-masing berusia 17 tahun.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang daripada mangsa yang dari Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Air Tawar 5 hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan.
"Akibat daripada kemalangan ini, kedua-dua mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, Hussin turut menasihati orang awam supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama.
Terdahulu, tular perkongsian di Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di jalan masuk Felda Air Tawar 4 itu yang membabitkan dua penunggang motosikal.
Dalam hantaran itu mendakwa kawasan kemalangan itu sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan yang tidak hidup.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bung-di-jalan-gelap |
|