ALOR SETAR: Kegigihan dua beradik menjaga ibu menghidap barah payu dara tahap empat di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah mendapat simpati dari ramai pihak.
Selepas kisah mereka disiarkan semalam, orang ramai mula membantu keluarga ini dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang kini menetap di rumah uzur yang hampir roboh.
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, berkata pihaknya akan membantu membaiki rumah yang didiami Sofiah Yusof, 54, yang menghidap barah payudara dan dijaga dua anaknya, Siti Aisyah Abdullah, 15, dan Muhammad Alif Adam, 12, di rumah itu.
Kos membaiki rumah Sofiah dianggarkan sekitar RM20,000 dan dijangka siap dalam tempoh 10 hari.
"Namun saya berharap ada pihak yang sudi membantu mereka untuk perbelanjaan harian serta kos ulang alik ke hospital.
"Hari ini saya turut membawa Pakar Perunding Kanan Nefrologi, Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah; Pakar Nefrologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norfadhlina Zakaria dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Ezaty Dalila Adil.
"Mereka memberi semangat kepada Sofiah untuk meneruskan perjuangannya sebagai pesakit barah payu dara selain turut menghulurkan sumbangan mereka," katanya ketika ditemui sewaktu mengunjungi pesakit ini.
Katanya, bukan mereka tidak mampu, tetapi disebabkan kesibukan urusan harian mereka ke sekolah menyebabkan tidak sempat masak selain menjaga ibu mereka yang sakit.

Sofiah Yusof (tengah) melihat ubat yang perlu diamalkannya untuk rawatan kanser payu dara bersama dua anaknya di rumah mereka di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Sementara itu, Sofiah mengucapkan terima kasih kepada pihak CSM dan tiga doktor pakar yang mengunjunginya untuk memberi semangat kepadanya bagi meneruskan kehidupan.
Katanya, dia yang kini tidak berselera makan disebabkan rawatan kemoterapi akan terus melawan penyakitnya supaya terus kuat.
"Tiada harta di dunia ini melainkan dua anak saya ini yang sanggup menjaga saya setiap malam dan selepas pulang dari sekolah.
"Mereka tak pernah merungut dengan keadaan rumah dan nasib yang menimpa kami tetapi menguatkan azam mereka untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kami," katanya.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal bersama Pakar Perunding Kanan Nefrologi, Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah (empat dari kanan) membawa makanan kepada dua beradik, Siti Aisyah Abdullah, 15, (dua dari kiri) dan adiknya, Muhammad Alif Adam, 12, kerana menjaga ibu mereka, Sofiah Yusof (tiga dari kiri) ketika menziarahi mereka di Kampung Tandok, Kubang Rotan Hilir, Jalan Kuala Kedah. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
sumber