Bukit Mertajam: Pakatan Harapan (PH) didakwa mengedarkan cetakan mirip kertas undi dipercayai di barong gabungan itu termasuk berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Jaya dekat sini.
Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah mendakwa, tindakan itu bertentangan Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Justeru, beliau mendesak semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, menghentikan sebarang bentuk kesalahan berkaitan pilihan raya terutama di DUN Seberang Jaya.
Tegasnya, beliau bercadang mengemukakan laporan berhubung insiden itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
"Saya amat kecewa dan terkilan apabila mendapati ada barung atau khemah milik PH memiliki dan/atau mengedarkan cetakan berupa kertas undi, termasuk di SK Pauh Jaya.
"Perbuatan terbabit boleh disifatkan sebagai aktiviti berkempen di luar tempoh berkempen yang menyalahi Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Saya mohon penyokong PN, termasuk ejen pengundian dan penjumlahan undi memberi sepenuh perhatian dalam melawan tindakan yang melanggar undang-undang ini," katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) hari ini.
Izhar Shah ketika menghubungi wakil The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) menjelaskan, wakil beliau sudah mengemukakan laporan berhubung insiden itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda dekat sini, pada jam 1.35 tengah hari tadi.
Kerusi DUN Seberang Jaya menyaksikan perlawanan dua penjuru antara Izhar Shah dari Bersatu, menentang pencabarnya, Johari Kassim yang mewakili PH.
Sementara itu, Johari ketika dihubungi menegaskan tidak dimaklumkan pihak yang mencetak dokumen terbabit selain mengakui hanya tahu mengenai perkara itu selepas melihat muat naik di FB lawannya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan slip berkenaan dicetak pihak tidak dikenali, bertujuan memberi panduan kepada pengundi.
"Kalau calon (Izhar Shah) bijak, dia boleh bezakan antara panduan dan kertas undi sebenar. Kalau tak reti bezakan, bagaimana dia mahu menjadi wakil rakyat? Mungkin dia terlalu muda dan tidak dapat membezakan (antara panduan dan kertas undi).
"Saya tak mahu komen mengenai dakwaan ia menyalahi mana-mana akta dan biar undang-undang menentukannya. Malah, dokumen terbabit tidak boleh dibawa masuk ke tempat mengundi pun.
"Cetakan terbabit bukan saya keluarkan, tak tahu ia datang daripada mana. Saya juga akan membuat laporan polis, jika dia (Izhar Shah membuat) fitnah perkara cetakan terbabit sebagai klon slip undi," katanya.