Butterworth: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M Satees membuat laporan polis, mendakwa dikepung dan diugut penyokong Pakatan Harapan (PH).
Satees berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang melakukan tinjauan di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior di sini.
Katanya, tinjauan itu dibuat susulan kejadian di pusat pengundian di SK Seri Relau, Georgetown yang terhenti sementara dipercayai akibat peti undi tidak ditutup dengan betul.
Dakwanya, insiden ketika mahu beredar dari pusat itu dan mengesahkan sudah membuat laporan di Balai Polis Butterworth di sini.
"Saya dan ejen pengundian dikepung, diejek dan diugut ketika kami masuk untuk memeriksa peti undi (di pusat mengundi berkenaan).
"Salah seorang mereka mencabar untuk bergaduh dengan saya, selain seorang lagi ugut menggunakan perkataan 'kamu tunggu selepas esok'.
"Mereka juga membawa sekumpulan lelaki masuk ke kawasan berkenaan tanpa pas yang sah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Satees yang juga penyandang Dun Bagan Dalam dilapor keluar DAP selepas namanya digugurkan daripada mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berdepan persaingan empat penjuru dengan pencabar, K Kumaran (PH), K Jayamaran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan S Rajasakanan - Penang Front Party (PFP).