GEORGETOWN: Kombinasi barisan EXCO Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang terdiri lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dua mewakili PKR dan seorang wakil Barisan Nasional (BN), direstui kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN peringkat Pusat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan, beliau akhirnya dapat memuktamadkan senarai itu petang semalam setelah ia mendapat persetujuan sebulat suara pemimpin komponen parti masing-masing dalam dua gabungan berkenaan.
"Saya cuma dapat memuktamadkan (senarai EXCO) setelah semua disampaikan kepada pemimpin parti peringkat Pusat. Bagi BN, nama yang dihantar seorang sahaja, jadi kita memberi pertimbangan berdasarkan nama yang dicadangkan.
"AMANAH juga ada mencadangkan, tetapi keputusan parti sepertimana diumumkan dan kita akan mencadangkan Timbalan Speaker diperuntukkan kepada wakil AMANAH," katanya pada sidang media di Dewan Sri Pinang, hari ini.
Terdahulu 10 ADUN Pulau Pinang termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah EXCO di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, sambil disaksikan Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri.
Kon Yeow berharap barisan EXCO yang telah dilantik dapat menyesuaikan diri dengan portfolio masing-masing dan dapat bekerjasama serta berdiri teguh sebagai satu pasukan.
"Saya berharap dengan pasukan baharu, kita dapat meneruskan apa yang kita sudah lakukan. Yang penting, kita akan menilai semula berdasarkan isu-isu sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN), yang mana perlu ada penambahbaikan atau diperkukuhkan lagi," katanya.
Senarai EXCO Kerajaan Pulau Pinang
Chow Kon Yeow (ADUN Padang Kota)
Ketua Menteri merangkap EXCO Kewangan Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi
Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (ADUN Batu Maung)
Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap EXCO Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat
Jagdeep Singh Deo (ADUN Datok Keramat)
Timbalan Ketua Menteri II merangkap EXCO Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi
Rashidi Zinol (ADUN Sungai Acheh)
EXCO Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar
Zairil Khir Johari (ADUN Tanjong Bunga)
EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital
Wong Hon Wai (ADUN Paya Terubong)
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang)
EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam
H'ng Mooi Lye (ADUN Jawi)
EXCO Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa
Gooi Zi Sen (ADUN Padang Lalang)
EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan
Datuk Seri S Sundarajoo (ADUN Perai)
EXCO Perumahan dan Alam Sekitar
Fahmi Zainol (ADUN Pantai Jerejak)
EXCO Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi