CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 890|Reply: 0

[Pulau Pinang] Impian budak hidap kanser tahap akhir mahu kunjungi Zoo Negara

[Copy link]
Post time 21-8-2023 10:42 AM | Show all posts |Read mode
Impian budak hidap kanser tahap akhir mahu kunjungi Zoo Negara


Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 21, 2023 @ 10:29am [email protected]




Shahrima menunjukkan foto Mohd Irfan Kamil yang menghidap penyakit kanser leukemia alymphocytic akut (ALL) tahap akhir. - Foto




GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghidap penyakit kanser leukemia lymphocytic akut (ALL) tahap akhir berhasrat mahu mengunjungi Zoo Negara.

Ibu kanak-kanak itu, Shahrima Rodzi, 40, berkata setiap hari anaknya, Mohd Irfan Kamil Mohd Shukor sering bertanya bolehkah dia mahu ke Zoo Negara.

"Setiap hari Mohd Irfan Kamil bertanya bolehkah Abang Ngah ke Zoo Negara?, namun saya tiada jawapan untuk itu.

"Malah, saya sendiri tidak yakin dapat ke sana (Zoo Negara) kerana keadaan kesihatan anak yang semakin merosot, selain perlu berkerusi roda serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan," luah Shahrima.

Shahrima berkata, Mohd Irfan Kamil yang mesra dipanggil Abang Ngah disahkan doktor sudah tidak dapat dirawat selepas hampir empat tahun bertarung melawan kanser.

Katanya, pada masa kini doktor membenarkan anak kedua daripada tiga beradik itu pulang ke rumah di Alor Setar, Kedah selepas seminggu dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Sabtu lalu, doktor mengesahkan penyakit Mohd Kamil Irfan tidak dapat dipulihkan dan dia diberi pilihan sama ada mahu terus dipantau di hospital atau dibawa pulang ke rumah.

"Kini Abang Ngah hanya mampu terbaring di atas katil dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa, selain perlu makan empat jenis ubat dengan kerap setiap hari," katanya ketika ditemui di Persiaran Karpal Singh di sini, kelmarin.

Mohd Irfan Kamil disahkan mengidap kanser pada tahun 2020 selepas mengalami sakit sendi akibat terjatuh daripada basikal.

Minggu lalu, kanak-kanak itu mengadu sakit badan dan Shahrima membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dirujuk ke HPP dengan dibawa menaiki ambulans.

"Tidak tertahan perasaan ini melihat Abang Ngah tidak dapat tidur seharian ketika itu sebelum dia terima rawatan di HPP.

"Saya kehilangan kata-kata fikiran juga kosong saat doktor beritahu sudah tiada ubat yang boleh merawat penyakit kanser Abang Ngah.

"Saya tidak sanggup kehilangan Abang Ngah, tetapi tidak sanggup juga melihat dia menderita menahan sakit setiap masa, kami reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Pada masa kini, Shahrima dan suami, Mohd Shukor Bashah, 44, serta dua lagi anak mereka berusaha menggembirakan Mohd Irfan Kamil dengan menghabiskan masa bersama.

"Abang Ngah memang penyayang terhadap haiwan dan dia pernah memelihara kucing sebelum ini, namun terpaksa dilepaskan kerana tidak mampu menjaganya selepas tahap kesihatan semakin merosot.

"Jika Abang Ngah 'kuat', saya akan berusaha membawanya ke Zoo Negara dan cuba penuhi impiannya," katanya.

Terdahulu, Shahrima ditemui pada Program Maybank Group Global CR Day bersama Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) yang disertai kira-kira 70 pesakit kanser kanak-kanak.

Pada program itu, Maybank menyampaikan sumbangan alat bantuan pernafasan mudah alih kepada FOCCAN bagi keperluan kanak-kanak pengidap kanser yang memerlukan.

Presiden FOCCAN, Maznah Tayib berkata, sumbangan itu seterusnya diserah kepada Shahrima berikutan keperluan Mohd Irfan Kamil bagi memudahkan urusan pergerakannya.

"Alat bantuan pernafasan mudah alih ini membolehkan Mohd Irfan Kamil bergerak ke mana-mana lokasi tanpa perlu menggunakan sambungan elektrik secara 'plug point' di rumah atau ambulans seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 10:06 PM GMT+8 , Processed in 0.347448 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list