CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1470|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Kenangan kelilingi Eropah sejauh 4,000km

[Copy link]
Post time 11-9-2023 03:39 PM | Show all posts |Read mode

SIDEQ bergambar kenangan di salah satu ‘check point’ ketika mengikuti perlumbaan ‘The Transcontinental Race'. FOTO Ihsan Sideq Salleh

Kuala Lumpur: Jurutera penyelidik semikonduktor mencipta sejarah dan kenangan tersendiri apabila berjaya mengelilingi Eropah sejauh kira-kira 4,000 kilometer (km) dengan berbasikal dalam perlumbaan The Transcontinental Race bermula dari Geraardsbergen, Belgium pada 23 Julai lalu.

Dr Sideq Salleh, 39, mengakhiri perlumbaan kayuhan secara solo dan berkonsepkan full self-support (sokongan diri sendiri sepenuhnya) dan peserta tidak dibenarkan membawa support-car atau sokongan daripada luar di Thessaloniki, Greece dalam masa 14 hari dan 22 jam.

Dia antara tiga rakyat negara ini daripada 350 peserta seluruh dunia menyertai kayuhan berkenaan yang melalui empat check point (titik semak) iaitu Italy, Slovenia, Albania dan Greece serta ia perlu ditamatkan dalam masa 15 hari.

Sideq berkata, dia membuat persediaan selama setahun melalui beberapa siri latihan kayuhan jarak jauh dan pernah berkayuh mengelilingi Malaysia sejauh 2,200 km dalam masa tujuh hari dan lapan jam.

Menurutnya, selain itu dia juga membuat persediaan mental supaya boleh berkayuh tanpa henti dengan hanya berhenti sementara dan tidur selama tiga atau empat jam sehari.

"Biarpun berkonsep sokongan diri sepenuhnya namun peserta dibenarkan tidur di luar atau tempat penginapan seperti hotel dan saya memilih tidur dengan beg tidur di lokasi yang tidak ada tempat penginapan selama tujuh hari, manakala enam hari lain saya tidur di tempat penginapan.

"Saya menggunakan basikal all-rounder climbing daripada alloy ringan dan ciri pilihan basikal adalah ringan, tahan lasak berbanding basikal daripada bahan karbon dan juga ergonomik atau keselesaan pengayuh semasa menggunakan basikal jenis all-rounder (serba-boleh) dan climbing (panjatan bukit/gunung)," katanya kepada Harian Metro.



SIDEQ (gambar kanan) ketika perlumbaan bermula di Geraardsbergen, Belgium pada 23 Julai lalu. FOTO Ihsan Sideq Salleh

Katanya, pengalaman menarik sepanjang kayuhan itu dia dapat melihat keindahan negara orang yang tidak akan dilupakan selain tertarik melihat jaringan jalan raya di Eropah yang berkonsepkan cyclist friendly (mesra penunggang basikal) dengan lorong basikal teratur dan selamat untuk semua lapisan umur.

"Pemandangan bukit, gunung-ganang dan sungai antara yang sangat cantik pernah saya lihat dan paling mengujakan saya melalui puncak gunung Italy Alps Stelvio serta gunung Austria dan Slovenia yang mempunyai kecondongan lebih daripada lebih 20 darjah yang tidak ada di Malaysia," katanya.

Menurut Sideq, antara cabaran yang dilalui adalah faktor cuaca apabila dia perlu berkayuh dalam cuaca sejuk di bawah suhu lima darjah Celsius untuk beberapa hari selain angin yang kuat dan kering turut menyukarkan kayuhannya.

"Sebagai antara rakyat Malaysia yang pertama menyertai perlumbaan berkenaan secara solo dan semangat 'Malaysia Boleh', saya tanam semangat untuk menghabiskan perlumbaan dalam masa had diberikan.

"Ia berhasil apabila saya menjadi peserta Malaysia pertama yang tiba di penamat dengan catatan masa 14 hari dan 22 jam," katanya yang menetap di Kulim, Kedah dan turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada Jumaat lalu.

Katanya, dia mula aktif dalam sukan berbasikal sejak 2019 dan pernah menyertai perlumbaan road bike membabitkan jarak antara 120 km hingga 160 km selain perlumbaan gravel (berbatu) dan jamboree mountain bike serta KOM (King of Mountain).

"Bagaimanapun perlumbaan TCR atau Transcontinental Race itu boleh dikatakan adalah perlumbaan road bike, gravel dan mountain bike series yang digabungkan menjadi satu perlumbaan jarak jauh yang unik dan mencabar.

"TCR juga dikategorikan antara sembilan sukan basikal endurance (ketahanan) paling mencabar dalam RED BULL toughest endurance sports," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ropah-sejauh-4000km
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-3-2025 03:13 AM GMT+8 , Processed in 0.215914 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list