|

Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan beberapa strategi dalam usaha memastikan pensijilan halal Malaysia terus relevan dan cekap menangani cabaran masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar, berkata evolusi pensijilan halal perlu memenuhi dinamik permintaan dan piawaian kawal selia sehingga peringkat antarabangsa.
Katanya, antara strategi dilakukan ialah penyeragaman piawaian halal merentasi negara dan industri, di samping ketelusan serta kebolehkesanan menggunakan teknologi.
"Ia merangkumi rantaian blok untuk memantau keseluruhan rantaian bekalan dan mendidik pelanggan mengenai status halal barangan.
"Integrasi teknologi perlu dilakukan bagi menyelaras proses pensijilan untuk mengemukakan permohonan, memantau pemeriksaan dan berkomunikasi dengan badan pensijilan halal.
"Selain itu, melakukan penyelidikan dan inovasi untuk membantu menangani cabaran serta memanfaatkan peluang dalam pensijilan halal dan memenuhi keperluan pelbagai industri termasuk kosmetik, farmaseutikal serta peranti perubatan," katanya.
Beliau menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mohd Nai'im berkata, JAKIM mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 dalam penambahbaikan proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Langkah itu, katanya, tidak mengenepikan aspek integriti dan pematuhan syariah, berdasarkan piawaian dan prosedur pensijilan halal Malaysia.
"Inisiatif penambahbaikan ini berjaya mempercepat proses pengeluaran pensijilan halal Malaysia yang boleh diselesaikan dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima bagi permohonan domestik, berbanding 30 hari bekerja dari tarikh bayaran fi pensijilan sebelum ini.
"Permohonan pengilangan luar negara pula mengambil kurang dari tiga bulan.
"Tanpa komitmen dan sokongan padu pihak industri, inisiatif JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) tidak bermakna dalam membantu industri mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dalam tempoh masa yang singkat," katanya.
Mengenai GHaS 2023, Mohd Nai'im berkata, dengan tema Integriti, Kemampanan dan Ketahanan', sidang kemuncak itu sepakat membawa aspirasi membangunkan pertumbuhan tadbir urus dan ekosistem halal yang mapan serta berdaya tahan.
Pada masa sama, katanya, usaha turut digerak untuk memacu penambahbaikan dan mencipta kejayaan tanpa mengabaikan prinsip dan nilai integriti dalam industri halal global.
"Ekosistem halal yang mapan tidak mungkin mempunyai daya tahan yang utuh, melainkan ada nilai integriti dalam tadbir urus pengurusan pensijilan halal," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... perlu-kekal-relevan |
|