|

ANGGOTA penguat kuasa menyita peralatan muzik di salah sebuah premis hiburan yang diarahkan tutup kerana melanggar syarat lesen. FOTO Ihsan DBKL
Kuala Lumpur: Tindakan dua premis hiburan di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini, melanggar syarat lesen mengundang padah apabila diarahkan tutup Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelmarin.
DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan melaksanakan Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Hiburan) Siri 12/2023 di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini, bermula 10 malam hingga 2 pagi.
Hasil serbuan dan pemeriksaan pegawai penguat kuasa DBKL di lima premis perniagaan restoran/pub berkenaan, DBKL mendapati premis turut mengadakan aktiviti hiburan membabitkan persembahan live muzik, nyanyian karaoke dan DJ (disc joskey) muzik tanpa kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.
"Tindakan penutupan serta-merta terhadap dua premis mengikut Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (live muzik/DJ) tanpa kebenaran.
"Tiga notis kompaun kerana Melantik Pembantu Tanpa Kebenaran dan satu notis kompaun kerana Premis Tiada Lesen Beroperasi mengikut Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta dua notis kompaun Tiada Lesen Iklan di bawah UUK 5(1) Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982," katanya dalam kenyataan.
Menurut DBKL, sebanyak 12 pelbagai peralatan muzik/premis disita membabitkan penutupan dua premis berkenaan.
"Barangan dan peralatan muzik dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.
"Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang lain sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -lesen-diarah-tutup |
|