|

Allaudeen Abdul Majid. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung 'Himpunan Selamatkan Malaysia' di hadapan kompleks beli-belah Sogo di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kita (polis) sudah buka kertas siasatan dan akan memanggil mana-mana individu yang dapat membantu siasatan.
"Mereka akan dipanggil untuk rakaman keterangan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Semalam, perhimpunan itu dilaporkan bermula pada 1.50 tengah hari dan berakhir 3.30 petang dengan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa.
Peserta perhimpunan itu dilaporkan berarak dengan berjalan dari Masjid Jamek Kampung Baru ke Sogo selepas menunaikan solat Zohor.
Perarakan itu diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.
Tun Faisal bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muhammad Rafique Rashid Ali turut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, Allaudeen dalam sidang media di IPD Dang Wangi pada semalam memaklumkan, himpunan berkenaan didapati tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan 2012.
Beliau dilaporkan berkata, penganjur himpunan berkenaan tidak mematuhi garis panduan pemakluman kepada pihak polis.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... selamatkan-malaysia |
|