View: 2691|Reply: 0
|
Transformasi Pendigitalan Usahawan Desa
[Copy link]
|
|
Transformasi Pendigitalan Usahawan Desa
PESERTA Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri 6 Tahun 2023. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Alor Setar: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.7 juta bagi mempergiatkan Program Pendigitalan Usahawan (PPU) untuk usahawan luar bandar di bawah bimbingan kementerian itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, program itu memberi pendedahan secara langsung dan praktikal dalam memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-Dagang.
Katanya, kementerian itu melaksanakan enam siri program berkenaan yang membabitkanpenyertaan seramai 1,818 usahawan pada tahun ini di enam lokasi termasuk di sini.
"Siri pertama di Putrajaya membabitkan penyertaan seramai 185 usahawan; siri kedua di Kuching (369 usahawan); siri ketiga di Kuala Terengganu (404 usahawan); siri empat di Shah Alam ( 289 usahawan); siri lima di Johor Bahru (269 usahawan) dan siri enam di Alor Setar (302 usahawan).
"Bermula daripada pandemik Covid-19 ramai yang mengeluh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)...mereka tidak dapat menjalankan perniagaan mereka secara biasa.
"Tetapi melalui dalam talian mereka lihat ada ruang untuk bergerak, jadi kita lengkapkan mereka dengan program sebegini untuk menambah pengetahuan dan meluaskan lagi pemasaran produk mereka menerusi platform digital," katanya ketika ditemui selepas merasmikan PPU siri enam di sini, semalam.
Che Murad berkata, untuk kali ini, buat pertama kali KKDW menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di dalam program ini yang bertujuan merapatkan jurang digital antara usahawan desa dan usahawan di bandar melalui peluasan penggunaan teknologi dan aplikasi digital dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan.
Katanya, kerjasama selanjutnya akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memberi impak jangka masa panjang untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa.
Untuk rekod, lebih 60,000 usahawan desa berada di bawah ekosistem KKDW.
Sementara itu, peserta PPU, Muhammad Al Ahnaf Mohd Roslan, 22, berkata, dia berterima kasih kepada KKDW kerana memberi peluang kepadanya untuk menambah ilmu pemasaran digital dalam usaha mempromosi produk sayur-sayurannya secara lebih meluas. Petani dari Terengganu itu berkata, menerusi platform berkenaan dia berharap dapat menjual hasil tanaman sayur-sayuran ke seluruh semenanjung tanpa orang tengah.
"Pertanian sekarang banyak offline jadi pasaran tidak meluas, dengan adanya platform digital pasaran akan lebih luas dan tidak terhad di kawasan tertentu sahaja selain tanpa orang tengah saya akan dapat keuntungan yang lebih besar," katanya.
Seorang lagi peserta, Noor A'qilah Abd Samad, 35, berkata, menerusi PPU, dia memperoleh banyak maklumat termasuk melalui platform e-dagang seperti Lazada, Shoppe dan lain-lain.
"Sebelum ini saya hanya promosi produk baju Kedah saya menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, tapi kali ini saya diberi pendedahan menggunakan platform e-dagang yang lebih meluas, program selama dua hari ini ternyata sangat memberi manfaat kepada kami, " katanya yang berasal dari Sungai Petani.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... talan-usahawan-desa
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|