CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5282|Reply: 0

Membujang bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW

[Copy link]
Post time 8-12-2023 08:23 AM | Show all posts |Read mode
Membujang bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW


FOTO HIASAN


Kahwin adalah sunnah Rasulullah SAW dan para Nabi serta fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang mahu hidup membujang jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW serta mensia-siakan nikmat kurniaan Allah SWT dalam kehidupan dunia.

Islam melarang umatnya hidup membujang kerana iIa sekali gus boleh melemahkan umat Islam.

Sebenarnya, perkahwinan itu akan berkembang umat dan pengikut Nabi Muhammad SAW. Baginda bangga dan bergembira dengan sebab ramai umatnya. Ia dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat lain pada hari akhirat nanti." (Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim)

Nabi Muhammad SAW dan para rasul terdahulu terdiri daripada golongan yang berkahwin dan mempunyai zuriat keturunan. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan." (Surah al-Ra'd ayat 38).

Mereka yang enggan berkahwin seumur hidupnya, sedangkan mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dari segi zahir dan batin bermakna mereka mengharamkan sesuatu perkara yang halal terhadap diri mereka. Justeru, mereka boleh dianggap orang yang menentang hukum Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsirnya Jami' al-Bayan 'an Ta'wil al-Qur'an menjelaskan, seorang daripada sahabat Rasulullah SAW bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat.

Susulan pengharaman itu, Allah SWT menurunkan firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-Ma'idah ayat 87)

Sehubungan ini, Ibn 'Abbas RA meriwayatkan bahawa seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai orang yang membujang selama-lamanya dengan berkata: "Bolehkah aku berkasi?" Baginda SAW menjawab dengan bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi." (Riwayat al-Tabrani)

Berhubung masalah ini juga, Sa'ad bin Abi Waqqas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang sahabatnya 'Uthman bin Ma'zun hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda SAW mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin), tentulah kita 'harus' berkasi. - (Riwayat al-Bukhari)

Ada antara individu dalam masyarakat beralasan untuk menangguhkan perkahwinan mereka disebabkan tidak berkemampuan dari sudut kewangan. Mereka tidak yakin janji Allah SWT yang akan meluaskan rezeki selepas mereka berkahwin dan memikul pelbagai tanggungjawab.

Allah SWT telah berjanji akan meluaskan rezeki bagi sesiapa yang berkahwin menerusi fiman-Nya yang bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui" (Surah al-Nur ayat 32).

Berdasarkan ayat ini, jelaslah bahawa pintu rezeki orang yang berkahwin itu cukup luas. Mereka tidak lagi perlu bimbang akan menjadi miskin jika berkahwin.

Berhubung orang yang enggan berkahwin, Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa terdapat tiga sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW untuk menanyakan tentang ibadat yang dikerjakan oleh Baginda SAW. Setelah tiga sahabat tadi mendapat jawapan daripada isteri-isteri Baginda SAW, mereka merasakan bahawa ibadat mereka itu jika dibandingkan dengan ibadat Rasulullah SAW adalah terlalu sedikit. Lalu ketiga-tiga orang sahabat itu berkata sesama mereka: "Bagaimana dengan ibadat kita, padahal Baginda SAW adalah orang yang maksum (tidak sedikit pun mempunyai dosa dan Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?" Maka seorang daripada mereka itu berkata, "Aku akan solat Tahajjud setiap malam."; seorang yang lain berkata, "Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." dan seorang yang lain berkata, "Aku akan mengasingkan diri daripada orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)."

Sebaik sahaja Rasulullah SAW datang, lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Kenapa kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat takwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan daripada kalangan ummahku)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkahwin serta hidup berkeluarga adalah satu fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT sejak Adam lagi. Perkahwinan juga adalah satu rahmat serta antara tanda yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Dengan berkahwin, seorang itu dapat menyalurkan kehendak fitrahnya seperti berkasih sayang, keinginan mempunyai zuriat, memenuhi tuntutan nafsu seks, dapat mengadakan perbincangan atau berkongsi buah fikiran, berhak untuk mewarisi harta antara satu sama lain dan dapat mengukuhkan ekonomi bagi pasangan yang bekerja.

Islam menggalakkan mereka yang berkemampuan supaya berkahwin. Kemampuan di sini merujuk kepada baik dari segi kesihatan, cukup perbelanjaan, dan sudah bersedia untuk menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri agar rumah tangga yang dibina itu bahagia dan harmoni.

Nabi Muhammad SAW memang tidak menyukai umatnya yang membujang seumur hidup, kecuali orang yang mempunyai masalah yang tidak membolehkannya berkahwin. Namun, Baginda SAW tidak pula menyebut dengan terperinci apakah jenis masalah itu kerana baginda menyedari bahawa setiap orang mempunyai masalah yang tersendiri. Antaranya termasuklah tidak sempurna kesihatan fizikalnya, masalah penyakit batin, tidak mampu menjalankan kewajipan selepas berkahwin, mempunyai gangguan emosi dan mental atau segala perkara yang menghalangnya daripada mendirikan rumah tangga.

Amalan memilih hidup membujang atau sengaja melambatkan perkahwinan patut diketepikan kerana ia jelas bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang dijelaskan sebelum ini.

Memang kalau dilihat secara kasar, hidup membujang itu lebih bebas daripada hidup berkeluarga. Namun, pada hakikatnya adakah ia boleh menjamin ketenangan? Sedangkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa orang yang berkahwin itu akan dikurniakan rezeki, ketenangan dan kasih-sayang. Seseorang yang membujang itu mungkin tidak mempunyai beban tanggungan, tetapi ia tetap diharamkan daripada melakukan hubungan dengan mana-mana wanita yang bukan mahramnya.

Jika seseorang itu enggan berkahwin, biarlah keengganannya itu dibenarkan oleh syarak. Misalnya, bagi mereka yang tidak mampu (zahir dan batin) dan tidak yakin dapat melaksanakan kewajipan sebagai suami atau isteri. Oleh itu, mereka hendaklah menjaga diri dari terjebak ke lembah kemaksiatan. Adalah haram jika seseorang itu sengaja hidup membujang semata-mata untuk mencari kebebasan sepenuhnya tanpa mengambil kira tegahan syarak.



Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... nnah-rasulullah-saw

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 12:52 AM GMT+8 , Processed in 0.370236 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list